Wahai papa dan mama sekalian, jangan panik kalau tiba-tiba anak kecil anda tanyakan hal-hal yang agak sensitif dan sukar diberikan jawapannya. Sebaliknya, belajar bagaimana untuk menjawab soalan mereka dengan bahasa yang senang mereka fahami.
Sememangnya bukan mudah bercakap dengan anak tentang hal-hal yang berkaitan tentang bayi dan hubungan kelamin. Pertanyaan mengenai dari mana bayi datang merupakan suatu pertanyaan yang sangat biasa. Hampir semua kanak-kanak akan mempersoalkan hal ini. Lebih-lebih lagi jika ibu mereka sedang mengandung. Soalan “Bayi datang dari mana?” ini walaupun ringkas, nyata sangat sukar dijawab.
Tapi, hendak atau tidak, anda kena menjawabnya. Kalau tidak, si kecil anda akan terus menyoal sampai puas hati. Ini bermakna, semakin cepat anda memberikan jawapan terhadap soalan-soalan anak, lebih mudah. Menjawab soalan anak yang masih kecil tidak memerlukan anda duduk semeja berbincang dengannya. Terus sahaja jawab setiap kali dia bertanya. Untuk mendapatkan jawapan yang boleh diterima kanak-kanak, rujuklah pada buku-buku kanak-kanak yang ada menceritakan tentang hal ini.
Lazimnya, cara menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh anak-anak bergantung pada umur mereka. Bersama-sama ini ada soalan-soalan biasa yang anda dengar daripada mereka dan jawapan cadangan.
2 hingga 4 tahun
Soalan:
Bayi datang dari mana?
Jawapan:
Bayi datang dari satu tempat istimewa dalam perut mama.
Soalan:
Macam mana keadaan dalam perut mama?
Jawapan:
Keadaan dalam perut mama cantik dan sangat selesa. Sebab itu, ‘baby’ suka sangat tinggal dalam perut mama.
Soalan:
Adik ada ‘bunga’. Abang ada tak ‘bunga’ macam Adik?
Jawapan:
Tak. Abang ada ‘burung’.
4 hingga 6 tahun
Soalan:
Macam mana nak buat ‘baby’?
Jawapan:
‘Baby’ dibuat daripada benih istimewa yang ada dalam badan papa bersama telur yang memang sudah ada dalam perut mama. Apabila benih papa jumpa dengan telur mama, terbentuklah ‘baby’ yang kecil. ‘Baby’ ini akan membesar dalam perut mama sampailah dilahirkan.
Soalan:
Macam mana telur boleh ada dalam perut mama?
Jawapan:
Semua orang perempuan memang sudah ada telur dalam perut mereka sejak dilahirkan. Tapi, telur hanya boleh jadi ‘baby’ kalau perempuan tu dah besar macam mama.
Soalan:
Macam mana ‘baby’ boleh hidup dalam perut mama?
Jawapan:
‘Baby’ tinggal dalam satu tempat istimewa dalam perut mama yang sangat selesa. ‘Baby’ dapat makanan daripada mama. Setiap makanan yang mama makan, ‘baby’ pun makan. Selain makan, ‘baby’ pun boleh bergerak-gerak, tidur dan berehat dalam perut mama.
Soalan:
Macam mana ‘baby’ keluar dari perut mama?
Jawapan:
‘Baby’ boleh keluar dari 2 tempat. Satu daripada ‘bunga’ dan satu lagi dari perut.
6 hingga 8 tahun
Soalan:
Dari mana datangnya benih dan telur?
Jawapan:
Benih papa biasanya dipanggil sperma. Sperma dalam badan papa dan telur pula memang sudah ada dalam perut mama. Apabila papa beri sperma pada mama, sperma tu terus cari telur dalam perut mama. Bila dah jumpa, sperma tu terus melekat pada telur dan tidak lama kemudian, jadilah ‘baby’ kecil.
Soalan:
Macam mana ‘baby’ keluar dari perut mama?
Jawapan:
Apabila ‘baby’ sudah besar, dia dah tak muat lagi untuk tinggal dalam perut mama. Jadi, ‘baby’ tu akan keluar dari perut mama ikut saluran yang memang sudah ada dalam badan mama. Saluran tu pula bersambung dengan ‘bunga’ mama. Di situlah ‘baby’ akan keluar nanti. Sebenarnya memang susah ‘baby’ nak keluar sebab ‘baby’ besar dan ‘bunga’ mama kecil. Jadi, kalau ‘baby’ tak dapat nak keluar sebab sempit, doktor akan tolong buat lubang pada perut mama dan keluarkan ‘baby’.
*sumber : majalah PA&MA 2012
0 comments:
Post a Comment