Saturday, November 19, 2011

~Tip Didik Dan Bentuk Keluarga Bahagia~

1. Ungkapkan kata-kata lembut
Ada pasangan apabila bergaduh susah untuk bercakap baik. Biasanya mereka terlalu mudah mengeluarkan kata-kata kesat kepada pasangan. Akibatnya ada juga yang mungkin terasa hati walaupun hubungan baik. Oleh itu, sentiasalah mengungkapkan kata-kata yang manis kepada pasangan walaupun dalam keadaan marah.
2. Terima kekurangan masing-masing
Biasanya sebelum berkahwin, masing-masing boleh menerima seadanya. Tetapi bila dah kahwin, ada sahaja kekurangan yang tidak kena. Mentang-mentanglah pasangan anda tidak seperti yang diidamkan, anda tidak melayannya sebagai pasangan suami isteri yang sah. Biar siapapun dia, belajarlah menerima seadanya dan melengkapi kekurangan tersebut.
3. Sentiasa mengambil berat hal pasangan
Itu belum lagi kalau pasangan itu berpisah kerana bekerja. Seorang di utara, seorang di Selatan. Kalaupun anda sibuk di pejabat, ini tidak bermakna kebajikan pasangan diabaikan. Sekurang-kurangnya telefonlah bertanya khabar. Kalau balik lambat, mungkin anda boleh SMS ataupun telefon supaya isteri di rumah tidak bimbang atau curiga.
4. Jangan suka menunding jari
Inilah salah satu punca pasangan bergaduh. Masing-masing tidak mahu mengalah disebabkan perkara yang kecil. Ada sesetengah pasangan sukar untuk mengaku kesalahan biarpun sudah jelas dialah yang memulakan pertengkaran. Cari jalan sepakat dengan berbincang apa yang tidak puas hati dalam rumah tangga supaya dapat diselesaikan dengan aman.
5. Jangan amalkan sikap mengungkit
Memang kita akui tanggungjawab si suami memang berat pada zahirnya. Tetapi itu tidak bermakna pasangannya tidak boleh bertolak ansur untuk meringankan beban si suami. Jika diperlukan, apa salahnya menolong tetapi jangan sesekali suka mengungkit tiap kali bergaduh kerana itu tentunya akan mengecewakan pasangan.
6. Bergurau senda mengikut keadaan
Tidak salah anda bergurau senda biarpun dalam usia emas. Tonjolkan kasih sayang anda di depan anak-anak supaya mereka dapat mencontohi anda dan pasangan dalam semua hal. Tetapi jangan pandai-pandai bergurau ketika pasangan baru balik dari kerja ataupun tengah moody.
7. Amalkan makan di rumah
Ada suami yang suka mengamalkan tabiat makan di luar sejak zaman bujang lagi. Bukan setakat tidak pernah masuk ke dapur, tetapi buat tidak endah jika si isteri masak di rumah. Janji perut kenyang. Sudahnya isteri makan hati. Sudahlah waktu kerja sentiasa sibuk, apakata hari minggu luangkan masa untuk makan bersama keluarga pula.
8. Habiskan masa dengan anak-anak dan keluarga
Waktu kerja diberikan sepenuhnya di pejabat. Habis waktu kerja, jangan lupa setkan minda anda di rumah pula. Luangkan masa dengan baik dan teratur untuk keluarga yang lebih memerlukan anda.
9. Sentiasa peka dengan masalah pasangan
Biasanya wanita yang sering berdiam diri jika berasa tidak puas hati dengan sikap pasangan. Hendak diluahkan bimbang akan bergaduh besar. Si lelaki pula tidak faham jiwa. Bila satu hari si isteri berdiam diri ataupun bermasam muka, janganlah buat tidak tahu sahaja. Cuba tanya apa masalahnya dengan sebaik mungkin.
10. Jangan serahkan kebajikan keluarga kepada pembantu rumah
Kalau dua-dua orang bekerja, pastikan masa bersama anak-anak dimanafaatkan sebaik mungkin. Kalau boleh tetapkan waktu petang bersama anak-anak jika tiada apa-apa aktiviti luar. Kalau boleh elakkan balik lewat malam ketika anak sudahpun tidur. Jika anda ada pembantu rumah, kemungkinan anak-anak akan lebih rapat dengan pembantu rumah daripada ibu bapa sendiri.
11. Elakkan meninggikan suara di hadapan anak-anak
Emosi sememangnya sukar dikawal. Kalau bom meletup memang sukar dijangka. Tetapi kalau boleh dikawal, silalah kawal. Orang dewasa sepatutnya berfikir secara bijak dengan tidak bergaduh di depan anak-anak. Seharusnya anak-anak tidak perlu dilibatkan dengan masalah orang dewasa.
12. Bersikap romantik
Tidak semestinya cinta di usia tua tidak perlu romantik. Cuba imbas kembali kenangan dulu-dulu sebelum berkahwin. Kalau dirasakan perlu menghadiahkan si dia dengan bunga ataupun kad ucapan.
13. Masa Berdua Dengan Pasangan
Harus ada masa untuk anda berdua sahaja. Berdua bermaksud tanpa anak-anak. Tanpa pengasuh atau ahli keluarga yang lain. Pergilah bercuti ke mana sahaja tanpa mereka. Tetapi pastikan anak-anak sudah besar.
14. Buat Semua Perkara Dengan Ikhlas
Pastikan anda buat semua perkara yang diminta oleh pasangan dengan baik dan ikhlas. Biarpun penat atau dalam keadaan marah sekalipun, jangan sesekali merungut atau memberi layanan dengan rasa tidak puas hati. Bimbang juga takut nanti tiada keberkatan dalam rumahtangga.
15. Lakukan Hobi Bersama-sama
Tidak salah si suami atau isteri mempunyai hobi ketika belum berkahwin. Bagi si lelaki yang cenderung ke arah bola sepak, tidak semestinya melupakan minat sedia ada sesudah berkahwin. Kalau boleh terangkan kepada isteri supaya tidaklah dia berasa tertekan setiap kali anda keluar mencari hiburan bersama rakan-rakan lama. Kalau anda boleh ajak si isteri turun ke stadium lagi bagus.
16. Elak Membebel Atau Mengkritik Pasangan
Jangan amalkan sikap serba tidak kena. Selalulah berpuas hati dengan pasangan walau apapun dia buat atau dia pakai. Jangan sesekali menegur atau mengkritiknya terlalu kerap hingga menjatuhkan maruahnya. Seharusnya anda memberi kelonggaran untuknya agar berbuat sesuatu yang dia suka asalkan tidak melampaui batas.
17. Sentiasa Memuji Pasangan
Perbanyakan puji dari mengeji atau mengejek. Lelaki atau wanita mana yang tidak suka dipuji tetapi janganlah berlebihan hingga dianggap ejekan. Anda memang boleh memuji tetapi biarlah sesuatu yang betul dan bukan sengaja untuk mengambil hati.
18. Sentiasa bersyukur dan berterima kasih
Perkara ini memang remeh tetapi tahukah anda, sikap remeh dengan tidak berterima kasih walaupun perkara kecil boleh mengundang rasa kecil hati pasangan? Cubalah belajar berterima kasih di atas segala pemberian pasangan. Berterima kasih biarlah bertempat, nanti orang naik rimas pula.
19. Melatih aAnak-anak Bersikap bBaik
Ibu bapa mana yang tidak mahu zuriat yang baik-baik. Sesibuk mana anda dan pasangan, kebajikan dan batasan pergaulan anak-anak dijaga. Kalau boleh jangan sesekali amalkan sikap lepas tangan kepada pasangan anda sahaja. Anak-anak juga harus diasuh sejak kecil supaya sentiasa menghormati orang yang lebih tua agar kelak dewasa mereka pandai memilih jalan yang betul.Itu tanggungjawab anda sebagai bapa.
20. Jangan Tolak Seks Atau Situasi Bersama
Bila sebut tentang perkara di atas, semua terbayangkan yang indah-indah belaka. Ada juga yang takut bila mana hanya ada anda berdua tanpa anak-anak. Kadang-kadang si isteri yang penat setelah pulang dari bekerja tidak mampu melayani si suami yang mahu hubungan intim tidak kira masa. Demi kebahagiaan rumahtangga anda, jangan amalkan perkara sebegini, sebaliknya cari masa yang sesuai agar tidak mengecewakan mana-mana pihak.
21. Jujur
Tiada gunanya kalau anda tidak mempercayai pasangan. Perlu diingat, dalam mencari kemanisan rumahtangga, kejujuran adalah tiangnya. Runtuhnya tiang, bermakna runtuhlah sesebuah institusi kekeluargaan. Biar apa sahaja situasi anda dan pasangan, harus ada sikap saling percaya di antara satu sama lain.

*edit majalah pa&ma

*Konflik Suami Isteri Tentang Anak*

Anda sedang lena tidur namun satu suara nyaring memecah kesunyian malam. Makin lama suara tangisan itu semakin kuat. Apa situasi anda? Mahu bangun bancuh susu untuk si kecil atau membiarkan isteri bangun melakukan semua itu?
Perkahwinan adalah impian setiap pasangan. Malah zuriat kelahiran adalah penyambung kasih sayang. Namun bukan semua pasangan bersedia untuk memiliki anak dalam masa terdekat terutama lelaki kerana mereka merasakan masih belum bersedia untuk bangun di tengah malam dan sebagainya. Bagaimana anda menghadapi situasi ini tatkala pasangan mahu anak sedangkan anda belum bersedia. Semua ini menjadi konflik dalam perkahwinan anda.
Cuba anda bayangkan, ketika bercinta, pasangan sudah membayangkan hasrat mahu memiliki anak dengan segera. Dia membayangkan betapa indahnya kehidupan diiringi suara tangisan anak sedangkan anda masih mahu mencari keseronokan kerana belum bersedia dengan semua itu. Apa harus dilakukan?
1. Bayangkan Keseronokan Menjadi Ayah
Tahukah anda, bukan semua lelaki mampu memberikan zuriat untuk pasangannya. Begitu juga hal dengan wanita kerana bukan semua wanita mampu melahirkan anak dengan pelbagai sebab. Jika pasangan mahukan anak, anda perlu membayangkan betapa seronoknya bila si kecil mula memanggil anda dengan panggilan “ayah”, “daddy”, “papa” dan sebagainya.
Anda patut bertanya di dalam hati, adakah anda boleh melakukannya, adakah anda menyayangi seorang kanak-kanak, kalau aku tiada anak, bagaimana hari tua dan sebagainya. Secara logiknya, tiada siapa dapat membayangkan hari-hari tuanya tanpa seorang anak di sisi. Ini kerana ketika tua, kudrat sudah tidak berdaya seperti anda ketika muda. Hal-hal inilah yang harus anda fikirkan kerana sifat seorang lelaki sudah pasti berubah bila punya anak dan keluarga yang bahagia di sisinya. Namun persoalannya ialah anda belum bersedia sedangkan pasangan mahukannya. Justeru itu, anda perlu fikirkannya.
2. Menjadi Seorang Yang Lebih Bertanggungjawab
Memiliki anak bermakna komitmen anda sebagai lelaki bertambah. Ketika bujang, anda mungkin boleh makan apa seadanya namun tatkala punya isteri, anda perlu menyediakan segala kelengkapan berdua dan sudah pasti kosnya bertambah. Kalau anda boros bermakna, anda akan menanggung beban hutang yang banyak.
Namun bayangkan bila anda sudah bertiga, empat dan sebagainya dan semua ini akan menjadikan anda lebih bertanggungjawab. Anak adalah amanah dari Allah dan anda perlu menjaga, mendidik dan melakukan segalanya dengan sempurna. Jangan sesekali meletakkan tanggungjawab ini di bahu seorang isteri kerana wanita dijadikan dari tulang rusuk anda sahaja. Sebaiknya menjaga amanah Allah ini dipikul oleh anda.
Pernah anda melihat, mendengar cerita bagaimana seorang lelaki yang suka bersosial dan pabila berkahwin dan punya anak, mereka lebih bertanggungjawab kepada keluarga hanya kerana kehadiran seorang bayi kecil. Malah anda mungkin pernah membaca bahawa lelaki lebih menghargai ibu yang melahirkan mereka selepas menyaksikan kelahiran anak sendiri. Inilah kelebihan kelahiran anak kerana ia mampu mengubah segala-galanya dalam kehidupan lelaki.
3. Hari Sepi Tanpa Tangisan Anak
Cerita bagaimana pasangan bergaduh kerana tidak punya anak sudah biasa didengar. Begitu juga ada lelaki yang sanggup menceraikan isterinya bila mana isteri diketahui tidak mampu melahirkan anak. Bayangkan betapa pentingnya kehadiran zuriat ini dalam kehidupan berkeluarga. Melihatkan keletah anak-anak yang kadang-kala mampu membuatkan anda pening kepala, mudah naik darah dan sebagainya adalah satu pengalaman yang tidak dapat dijual beli di mana-mana pasar raya. Percayalah, hari-hari tua anda akan sepi jika anda menolak faktor mahu punya anak cepat atau menangguhkan dahulu soal si kecil ini. Seorang suami yang sudah terbiasa dengan tangisan anak, biasanya akan seperti kehilangan jika tidak mendengar suara tangisan ini. Jadi fikir-fikirkanlah.
4. Satu Faktor Pengikat
Bagi pihak isteri pula, anak adalah penyambung kasih anda dan pasangan. Jika bergaduh suami isteri pun, kecomelan anak akan jadi penyelamatnya bila anda memandang mata si kecil yang tidak berdosa. Bagi isteri pula, mempunyai anak adalah satu jaminan bahawa suami akan memikirkan tindakannya lebih mendalam jika anda tidak serasi bersama kerana baik bagi suami mahu pun isteri, kasih sayang yang mendalam pada anak-anak membuatkan mereka memikirkan risiko perceraian. Justeru itu, anak adalah pengikat kasih sayang dan anda tidak perlu ragu-ragu memilikinya dengan segera. Tolak ketepi soal tidak bersedia kerana pabila anda memilih untuk berkahwin, anda juga tidak menolak untuk dikurniakan zuriat.

*edit dr majalah Pa&Ma

~9 rahsia tidur si manja~

1. Wudhu
Rutin biasa yang biasa diajar oleh kebanyakan ibu bapa sebelum membenarkan anak masuk tidur ialah membersihkan diri dengan menggosok gigi dan membasuh kaki. Namun, ada baiknya jika anak anda turut dididik sejak kecil untuk mengambil wudhu sebelum tidur. Apabila anggota tubuh bersih, insya-ALLAH tidurnya lebih lena tanpa sebarang gangguan.  
2. Berdoa
Ibu bapa perlu mengajar anak membaca surah-surah lazim seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sebelum baginda tidur. Antara surah-surahnya ialah Al-Fatihah, al-Ikhlas, an-Naas, Al-Falaq dan lain-lain. Selain itu ajar dia membaca doa sebelum tidur. Tujuan utama amalan penting sebegini ialah untuk menjauhi dia daripada gangguan syaitan sewaktu tidur.
3. Baca buku
Mengikut ramai pakar motivasi, masa tidur adalah waktu yang paling untuk ibu bapa mendekati anak. Ini dapat dilakukan dengan membacakan buku-buku cerita teladan. Daripada situ, gunakan kreativiti tersendiri untuk menonjolkan mesej-mesej baik daripada cerita berkenaan agar ia dapat dijadikan tonggak hidup si kecil.
4. Bisikkan doa
Ibu bapa digalakkan untuk berdoa ketika anak hampir melelapkan mata. Amalan ini penting kerana dipercayai ketika ini sebagai antara waktu-waktu doa mudah dimakbulkan. Sambil berdoa, usap ubun di kepala anak anda dan ramas lembut jari-jarinya.
5. Ungkapkan sayang
Ketika anak dalam keadaan ?tidur-tidur ayam?, dengan sepenuh hati katakan anda sayang kepada si manja. Selain itu, luahkan apa sahaja pujian-pujian agar dia tahu anda sentiasa menyayangi dirinya. Ketika manusia dalam keadaan ?tidur-tidur ayam? otak kanan masih bekerja. Jadi, apa sahaja yang anda perkatakan, ia akan melekat di minda si cilik.
6. Posisi
Posisi tidur yang baik seperti saranan Rasulullah adalah tidur di sisi sebelah kanan (rusuk kanan sebagai tumpuan). Sementara itu, posisi yang paling perlu dihindari ialah tidur dalam keadaan meniarap.
7. Mohon maaf
Jika sebelum si kecil tidur, anda tanpa sengaja memarahinya, ambil peluang sebelum dia melelapkan mata untuk meminta maaf. Jadikan amalkan untuk kedua-dua pihak saling memohon maaf antara satu sama lain. Tidur tanpa meminta maaf dan memaafkan akan menyebabkan dendam itu tersimpan di otak kiri dan dikhuatiri ia boleh menjejaskan peribadi anak anda di kemudian hari.
8. Ciuman
Janganlah membiarkan anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam. Biasakan dia untuk bersalam dan mencium anda sebelum lena. Cara sebegini bukan sahaja dapat dijadikan simbol anda sayangkannya malah turut membantu di tidur dengan nyenyak kerana dia tahu anda sentiasa berada di sisinya.
9. Doa
Sesudah bangun tidur, si anak hendaklah diasuh untuk sentiasa membaca doa. Amalan ini dapat menyucikan hati daripada sifat-sifat yang negatif. Malah, dengan cara sedemikian, ia dapat membersihkan hati kesayangan anda itu daripada perasaan yang tidak baik.