Saturday, November 19, 2011

*Konflik Suami Isteri Tentang Anak*

Anda sedang lena tidur namun satu suara nyaring memecah kesunyian malam. Makin lama suara tangisan itu semakin kuat. Apa situasi anda? Mahu bangun bancuh susu untuk si kecil atau membiarkan isteri bangun melakukan semua itu?
Perkahwinan adalah impian setiap pasangan. Malah zuriat kelahiran adalah penyambung kasih sayang. Namun bukan semua pasangan bersedia untuk memiliki anak dalam masa terdekat terutama lelaki kerana mereka merasakan masih belum bersedia untuk bangun di tengah malam dan sebagainya. Bagaimana anda menghadapi situasi ini tatkala pasangan mahu anak sedangkan anda belum bersedia. Semua ini menjadi konflik dalam perkahwinan anda.
Cuba anda bayangkan, ketika bercinta, pasangan sudah membayangkan hasrat mahu memiliki anak dengan segera. Dia membayangkan betapa indahnya kehidupan diiringi suara tangisan anak sedangkan anda masih mahu mencari keseronokan kerana belum bersedia dengan semua itu. Apa harus dilakukan?
1. Bayangkan Keseronokan Menjadi Ayah
Tahukah anda, bukan semua lelaki mampu memberikan zuriat untuk pasangannya. Begitu juga hal dengan wanita kerana bukan semua wanita mampu melahirkan anak dengan pelbagai sebab. Jika pasangan mahukan anak, anda perlu membayangkan betapa seronoknya bila si kecil mula memanggil anda dengan panggilan “ayah”, “daddy”, “papa” dan sebagainya.
Anda patut bertanya di dalam hati, adakah anda boleh melakukannya, adakah anda menyayangi seorang kanak-kanak, kalau aku tiada anak, bagaimana hari tua dan sebagainya. Secara logiknya, tiada siapa dapat membayangkan hari-hari tuanya tanpa seorang anak di sisi. Ini kerana ketika tua, kudrat sudah tidak berdaya seperti anda ketika muda. Hal-hal inilah yang harus anda fikirkan kerana sifat seorang lelaki sudah pasti berubah bila punya anak dan keluarga yang bahagia di sisinya. Namun persoalannya ialah anda belum bersedia sedangkan pasangan mahukannya. Justeru itu, anda perlu fikirkannya.
2. Menjadi Seorang Yang Lebih Bertanggungjawab
Memiliki anak bermakna komitmen anda sebagai lelaki bertambah. Ketika bujang, anda mungkin boleh makan apa seadanya namun tatkala punya isteri, anda perlu menyediakan segala kelengkapan berdua dan sudah pasti kosnya bertambah. Kalau anda boros bermakna, anda akan menanggung beban hutang yang banyak.
Namun bayangkan bila anda sudah bertiga, empat dan sebagainya dan semua ini akan menjadikan anda lebih bertanggungjawab. Anak adalah amanah dari Allah dan anda perlu menjaga, mendidik dan melakukan segalanya dengan sempurna. Jangan sesekali meletakkan tanggungjawab ini di bahu seorang isteri kerana wanita dijadikan dari tulang rusuk anda sahaja. Sebaiknya menjaga amanah Allah ini dipikul oleh anda.
Pernah anda melihat, mendengar cerita bagaimana seorang lelaki yang suka bersosial dan pabila berkahwin dan punya anak, mereka lebih bertanggungjawab kepada keluarga hanya kerana kehadiran seorang bayi kecil. Malah anda mungkin pernah membaca bahawa lelaki lebih menghargai ibu yang melahirkan mereka selepas menyaksikan kelahiran anak sendiri. Inilah kelebihan kelahiran anak kerana ia mampu mengubah segala-galanya dalam kehidupan lelaki.
3. Hari Sepi Tanpa Tangisan Anak
Cerita bagaimana pasangan bergaduh kerana tidak punya anak sudah biasa didengar. Begitu juga ada lelaki yang sanggup menceraikan isterinya bila mana isteri diketahui tidak mampu melahirkan anak. Bayangkan betapa pentingnya kehadiran zuriat ini dalam kehidupan berkeluarga. Melihatkan keletah anak-anak yang kadang-kala mampu membuatkan anda pening kepala, mudah naik darah dan sebagainya adalah satu pengalaman yang tidak dapat dijual beli di mana-mana pasar raya. Percayalah, hari-hari tua anda akan sepi jika anda menolak faktor mahu punya anak cepat atau menangguhkan dahulu soal si kecil ini. Seorang suami yang sudah terbiasa dengan tangisan anak, biasanya akan seperti kehilangan jika tidak mendengar suara tangisan ini. Jadi fikir-fikirkanlah.
4. Satu Faktor Pengikat
Bagi pihak isteri pula, anak adalah penyambung kasih anda dan pasangan. Jika bergaduh suami isteri pun, kecomelan anak akan jadi penyelamatnya bila anda memandang mata si kecil yang tidak berdosa. Bagi isteri pula, mempunyai anak adalah satu jaminan bahawa suami akan memikirkan tindakannya lebih mendalam jika anda tidak serasi bersama kerana baik bagi suami mahu pun isteri, kasih sayang yang mendalam pada anak-anak membuatkan mereka memikirkan risiko perceraian. Justeru itu, anak adalah pengikat kasih sayang dan anda tidak perlu ragu-ragu memilikinya dengan segera. Tolak ketepi soal tidak bersedia kerana pabila anda memilih untuk berkahwin, anda juga tidak menolak untuk dikurniakan zuriat.

*edit dr majalah Pa&Ma

0 comments: