Thursday, January 10, 2013

~Bila Si Kecil Mula Bertanya~


Wahai papa dan mama sekalian, jangan panik kalau tiba-tiba anak kecil anda tanyakan hal-hal yang agak sensitif dan sukar diberikan jawapannya. Sebaliknya, belajar bagaimana untuk menjawab soalan mereka dengan bahasa yang senang mereka fahami. 
Sememangnya bukan mudah bercakap dengan anak tentang hal-hal yang berkaitan tentang bayi dan hubungan kelamin. Pertanyaan mengenai dari mana bayi datang merupakan suatu pertanyaan yang sangat biasa. Hampir semua kanak-kanak akan mempersoalkan hal ini. Lebih-lebih lagi jika ibu mereka sedang mengandung. Soalan “Bayi datang dari mana?” ini walaupun ringkas, nyata sangat sukar dijawab.
Tapi, hendak atau tidak, anda kena menjawabnya. Kalau tidak, si kecil anda akan terus menyoal sampai puas hati. Ini bermakna, semakin cepat anda memberikan jawapan terhadap soalan-soalan anak, lebih mudah. Menjawab soalan anak yang masih kecil tidak memerlukan anda duduk semeja berbincang dengannya. Terus sahaja jawab setiap kali dia bertanya. Untuk mendapatkan jawapan yang boleh diterima kanak-kanak, rujuklah pada buku-buku kanak-kanak yang ada menceritakan tentang hal ini.
Lazimnya, cara menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh anak-anak bergantung pada umur mereka. Bersama-sama ini ada soalan-soalan biasa yang anda dengar daripada mereka dan jawapan cadangan.

2 hingga 4 tahun
Soalan:
Bayi datang dari mana?
Jawapan:
Bayi datang dari satu tempat istimewa dalam perut mama.

Soalan:
Macam mana keadaan dalam perut mama?
Jawapan:
Keadaan dalam perut mama cantik dan sangat selesa. Sebab itu, ‘baby’ suka sangat tinggal dalam perut mama.

Soalan:
Adik ada ‘bunga’. Abang ada tak ‘bunga’ macam Adik?
Jawapan:
Tak. Abang ada ‘burung’.

4 hingga 6 tahun
Soalan:
Macam mana nak buat ‘baby’?
Jawapan:
‘Baby’ dibuat daripada benih istimewa yang ada dalam badan papa bersama telur yang memang sudah ada dalam perut mama. Apabila benih papa jumpa dengan telur mama, terbentuklah ‘baby’ yang kecil. ‘Baby’ ini akan membesar dalam perut mama sampailah dilahirkan.

Soalan:
Macam mana telur boleh ada dalam perut mama?
Jawapan:
Semua orang perempuan memang sudah ada telur dalam perut mereka sejak dilahirkan. Tapi, telur hanya boleh jadi ‘baby’ kalau perempuan tu dah besar macam mama.

Soalan:
Macam mana ‘baby’ boleh hidup dalam perut mama?
Jawapan:
‘Baby’ tinggal dalam satu tempat istimewa dalam perut mama yang sangat selesa. ‘Baby’ dapat makanan daripada mama. Setiap makanan yang mama makan, ‘baby’ pun makan. Selain makan, ‘baby’ pun boleh bergerak-gerak, tidur dan berehat dalam perut mama.

Soalan:
Macam mana ‘baby’ keluar dari perut mama?
Jawapan:
‘Baby’ boleh keluar dari 2 tempat. Satu daripada ‘bunga’ dan satu lagi dari perut.

6 hingga 8 tahun
Soalan:
Dari mana datangnya benih dan telur?
Jawapan:
Benih papa biasanya dipanggil sperma. Sperma dalam badan papa dan telur pula memang sudah ada dalam perut mama. Apabila papa beri sperma pada mama, sperma tu terus cari telur dalam perut mama. Bila dah jumpa, sperma tu terus melekat pada telur dan tidak lama kemudian, jadilah ‘baby’ kecil.

Soalan:
Macam mana ‘baby’ keluar dari perut mama?
Jawapan:
Apabila ‘baby’ sudah besar, dia dah tak muat lagi untuk tinggal dalam perut mama. Jadi, ‘baby’ tu akan keluar dari perut mama ikut saluran yang memang sudah ada dalam badan mama. Saluran tu pula bersambung dengan ‘bunga’ mama. Di situlah ‘baby’ akan keluar nanti. Sebenarnya memang susah ‘baby’ nak keluar sebab ‘baby’ besar dan ‘bunga’ mama kecil. Jadi, kalau ‘baby’ tak dapat nak keluar sebab sempit, doktor akan tolong buat lubang pada perut mama dan keluarkan ‘baby’.


*sumber : majalah PA&MA 2012

~Seronoknya Mengajar Dan Belajar~


Seronoknya Mengajar Dan Belajar
Bagi kebanyakan ibu bapa, tugas mengajar anak-anak adalah satu tugas yang sukar lebih-lebih lagi jika anak-anak tidak berminat untuk belajar. Diakui, bagi sesetengah kanak-kanak terutamanya yang sedang membesar, belajar adalah sesuatu perkara yang membosankan. Tapi, tahukah anda bahawa jika kena pada caranya, belajar pastinya menyeronokkan.
Sebagai ibu bapa, kita harus sedar bahawa pendidikan awal anak-anak sangat penting dalam memacu anak yang berilmu dan berkemahiran pada masa depan. Apa yang anak-anak kita lihat dan dengar dalam kehidupan mereka adalah satu ilmu yang berharga untuk diguna pakai dalam kehidupan seharian. Ibu bapa harus menjadikan tugas mengajar sesuatu yang menyeronokkan agar anak-anak juga rasa seronok untuk belajar.
Bagaimanakah belajar boleh menyeronokkan?
Perancangan awal dalam pembelajaran perlu supaya belajar itu boleh menjadi suatu perkara yang sangat dinanti-nantikan dan menyeronokkan. Kaedah, bahan dan gaya belajar mestilah disesuaikan dengan umur kanak-kanak agar mereka tidak rasa belajar itu membebankan.
Tip-tip Menjadikan Pembelajaran Suatu Perkara Yang  Menyeronokkan:
•Bahan
Untuk belajar, ada bermacam-macam bahan boleh digunakan seperti buku, akhbar, majalah, audio, video, animasi serta bahan-bahan daripada internet. Pada era moden ini, kanak-kanak didedahkan kepada alat-alat teknologi sejak awal lagi. Terdapat tablet dan pelbagai alat mainan canggih yang boleh dijadikan bahan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan untuk kanak-kanak.
•Kaedah
Bagi kanak-kanak, mereka banyak belajar ketika bermain. Jadi, ajarlah mereka sambil bermain. Misalnya, ajak anak-anak bermain naik tangga turun tangga untuk mengajar mereka mengira. Cara ini memang lebih menyeronokkan berbanding belajar terus daripada buku.
•Idea
Ibu bapa ataupun guru mestilah ada idea yang bernas untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk terus belajar. Contohnya, jika ingin mengajar mereka tentang buah-buahan, lebih elok jika anda beli beberapa buah-buahan segar dan biar anak lihat dan pegang sendiri buah-buahan tersebut. Pada masa yang sama, anak boleh tahu apa yang ada di dalam buah tersebut sekali gus dapat merasa buah-buahan tersebut. Tentunya cara ini lebih holistik dan berkesan daripada mengajar anak mengenal buah-buahan menerusi lukisan atau gambar pada buku. 
•Gaya Belajar
Gaya belajar merupakan kombinasi bagaimana seseorang kanak-kanak itu menyerap, mengatur dan mengolah maklumat yang ada dalam fikiran mereka. Biasanya ada tiga gaya belajar yang dominan iaitu auditori, visual dan kinestetik.
        1) Auditori
Auditori merupakan gaya belajar yang lebih mudah menyerap, mengatur, dan mengolah informasi melalui pendengaran. Kanak-kanak jenis ini biasanya lebih mudah dan lebih cepat menghafal dengan membaca menggunakan suara yang kuat ataupun melalui audio.
Tip: Bacalah buku bersama anak anda atau mainkan pita audio yang mempunyai irama menarik untuk membantu dia belajar lebih baik  
        2) Visual
Kanak-kanak gaya belajar visual lebih mudah menerima ilmu menerusi penglihatan mereka. Mata mereka tajam. Mereka lebih mudah mengingat apa yang dilihat berbanding yang didengar. Aktiviti demonstrasi atau tunjuk cara sangat sesuai untuk kanak-kanak jenis ini.
Tip: Pilih bahan bacaan yang mempunyai pelbagai warna dan bentuk yang menarik supaya anak anda lebih fokus dalam pembelajarannya.
        3) Kinestetik
Gaya belajar kinestetik adalah gaya belajar yang berkecenderungan kepada pergerakan tubuh atau pergerakan tangan. Kanak-kanak jenis ini biasanya aktif. Mereka gemar menyentuh benda yang ada di sekeliling mereka dan mengekspresikan apa yang mereka rasa dengan pergerakan tubuh.
Tip: Berikan anak anda permainan susun suai gambar atau blok binaan supaya dia belajar melalui sentuhan dan perbuatan.

*SUMBER : MAJALAH PA&MA 2012

~Bina Tabung Pendidikan Menerusi Pelan Takaful~


•Akaun Simpanan Biasa
Akaun simpanan membolehkan anda menyimpan atau memasukkan wang dan menerima faedah tanpa tempoh matang tertentu. Pastikan simpanan yang dibuat adalah konsisten dan tidak membuat pengeluaran sewenang-wenangnya.
•Akaun Tetap
Ia sejenis pelaburan yang menjamin kadar pulangan tetap pada tarikh matang. Selalunya amaun pelaburan bermula dari RM1,000.
•Unit Amanah (Unit Trust)
Unit amanah adalah antara alternatif pelaburan bagi kegunaan jangka masa sederhana (tiga ke lima tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun). Bagaimanapun, pulangannya tertakluk kepada prestasi dana yang terikat dengan pelan tersebut.
•Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 
Ia merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi. Selain menjanjikan pulangan dividen tahunan, SSPN turut menyediakan insentif kewangan khas dalam bentuk Geran Sepadan khusus kepada pendeposit yang berpendapatan rendah tertakluk kepada syarat peraturan yang ditetapkan.
•Pelan Takaful
Apakah itu takaful? Takaful adalah pelan perlindungan berdasarkan prinsip Syariah. Dengan mencarum sejumlah wang ke dalam dana takaful dalam bentuk caruman penyertaan (tabarru), anda memeterai kontrak (aqad) bagi membolehkan anda menjadi seorang peserta dengan bersetuju untuk saling membantu antara satu sama lain, sekiranya salah seorang peserta mengalami kerugian yang tertentu. 
Antara kelebihan mengambil pelan pendidikan takaful ialah:
  • Menyediakan perlindungan nyawa untuk anak anda di samping membina dana atau simpanan pendidikan.
  • Menyediakan perlindungan nyawa dan kewangan terhadap ibu bapa agar anak anda terus mendapat manfaat simpanan jika ibu bapa mengalami hilang upaya atau kehilangan nyawa.
  • Pilihan untuk mendapatkan perlindungan perubatan.
  • Ganjaran untuk kecemerlangan akademik.
  • Pilihan pengeluaran dana atau simpanan untuk menampung kos pendidikan

*sumber : majalah PA&MA 2012

Wednesday, January 9, 2013

~Perkembangan Bayi Dari Lahir Hingga Dua Tahun~


Perkembangan Bayi Dari Lahir Hingga Dua Tahun

Tahap-tahap Pertumbuhan Bayi Adalah Seperti Berikut:

0 hingga 3 bulan
• Berupaya bertindak balas jika anda menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki.
• Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki.
• Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus.
• Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum.
• Pada usia lapan  minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar difahami.
• Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan lembut dalam tempoh sekejap.
• Pada usia sembilan minggu bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek lain.
Tip: Beri bayi anda alat permainan yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya.  

3 hingga 6 bulan
• Pada usia 14 minggu, bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan sebaliknya.
• Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan.
• Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam mulut.
• Bayi sudah boleh mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya.
• Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap.
• Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama dan memandang ke arah anda.
Tip: Menyanyi akan menceriakan bayi anda dan merangsang kemahiran lisannya. Jadi, ajaklah anak tepuk tangan dan gerakkan badannya mengikut rentak muzik.

6 hingga 9 bulan
• Bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan lutut.
• Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan anda di sekeliling rumah.
• Bayi juga mulai merangkak.
• Sudah boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk dan ibu jari untuk mengambil objek kecil.
• Mulai berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet, rak, meja dan sebagainya.
• Mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot.
• Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas tetapi tidak difahami.
Tip: Ajar anak menyebut perkataan yang mudah seperti mama dan papa untuk merangsang kemahirannya bercakap.

9 hingga 12 bulan
• Pada usia 40 minggu bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan perabot.
• Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu.
• Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar seperti bola.
• Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat.
• Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan adik-beradik.
• Sudah memahami arahan mudah anda seperti ‘jangan’.
• Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan anda.
Tip: Mengajak anak bermain ‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika melihat.

12 hingga 24 bulan
• Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya. “Mana mama?”
• Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu.
• Semasa membaca buku bersama, mereka akan turut menyebut nama objek-objek yang ada di dalamnya.
• Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga.
• Boleh membuka zip yang bersaiz besar.
• Sudah pandai melukis.
• Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu.
Tip: Beri anak anda sudu dan garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda.

Manakala perkembangannya pula akan merangkumi 5 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.

1. Perkembangan Fizikal
Si manja mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis.
Tip rangsangan: Berikan anak kertas dan pensel warna. Biarkan dia melukis apa sahaja yang diingini untuk memupuk kreativiti mereka.

2. Perkembangan Bahasa
Anak anda akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio.
Tip rangsangan: Ajaklah anak menyanyi lagu dengan lirik ciptaan anda sendiri agar anak boleh belajar menyebut perkataan dengan betul. Misalnya,“Masa mandi, gosok gigi, gosok gigi, gosok gigi...baru bersih.”

3. Perkembangan Kognitif
Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.
Tip rangsangan: Setiap kali melakukan sesuatu, beritahu anak apa yang anda sedang buat. Misalnya, “Mama nak buka lampu ni,” lalu tekan suis dan lampu akan menyala. Dengan cara ini anak anda akan memahami perbuatan tersebut.

4. Perkembangan Sosial Emosi
Kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.
Tip rangsangan: Galakkan anak berkawan dengan rakan sebaya agar dia pandai berkomunikasi dan bertolak ansur.

5. Perkembangan Estetika dan Kreativiti 
Lihat kemampuan si kecil mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian.
Tip rangsangan: Ajak anak bermain permainan gambar sama. Ambil beberapa keping gambar dan buatkan dua salinan. Campurkan kesemuanya dan biarkan anak asingkan gambar yang sama. Cara ini mengasah kemahiran anak menyelesaikan masalah.

*sumber : majalah PA&MA 2012

~STOK MAKANAN KAT OFIS~



wajib ada..


 yang ni kadang-kadang je.kalu malas nak pergi buat air panas.







~gambar berdua~




dah lama tak ada gambar berdua.bukan tak sudi.tapi susah n tak berkesempatan.dengan anak-anak lagi. inipun aiman yang ambik.
tempat : KFC GIANT K.TRG (tengah sakit mata ni)