Wednesday, May 16, 2012

~Rahsia Si Kecil~

Perkembangan merujuk kepada perubahan fizikal, mental dan sosial yang dapat dijangkakan dalam kehidupan bayi. Perkembangan adalah faktor penting dalam kehidupan bayi. Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan anak anda, teruskan membaca
maklumat yang disediakan ini.

Dalam memastikan perkembangan anak menjadi lebih positif, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangkitkan kebijaksanaan di dalam diri anak-anak dengan mendidiknya secara holistik dalam cara-cara seperti memberikan makanan berkhasiat yang berkualiti, mewujudkan peluang dan ruang untuk perkembangan fizikal.


Selain itu, memberikan panduan dan rangsangan yang sesuai untuk perkembangan kognitif, memberi galakan dan empati bagi melengkapkannya secara emosi dan sosial.


Dalam tempoh itu, persediaan amat penting untuk menerima perubahan mengagumkan anak anda, dari seorang bayi kepada kanak-kanak kecil. Ini membolehkan anda membantunya mencapai kebolehan maksimumnya dalam empat bidang kepintaran pada setiap peringkat perkembangan.


Namun perkembangan awal fizikal tidak semestinya menunjuk kecerdikan seseorang anak kerana kematangan sistem saraf adalah berdasarkan sejarah keluarga. Penunjuk pada kecerdikan otak yang boleh dipercayai adalah senyuman awal, kepekaan, daya tumpuan dan ingatan yang baik, percakapan awal dan minat yang meningkat terhadap permainan.


Sama ada kepintaran anak lebih nyata dalam satu bidang atau adalah seorang yang serba berkebolehan, penjagaan dan pemakanan yang berkualiti, disulami dengan penerimaan dan kasih sayang tidak berbelah bagi dari ibu bapa, pasti akan membantu anak membesar menuju ke arah kecemerlangan.


Pendapat Head Start Project, menunjukkan bahawa baka bukanlah satu-satunya faktor yang boleh menentukan prestasi intelek seseorang itu kerana yang lebih penting lagi ialah pengalaman-pengalaman, kaedah-kaedah pembelajaran dan galakan yang diterimanya. Ramai para penyelidik menyatakan bahawa peringkat dua hingga tiga tahun adalah kritikal bagi perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak itu.


Jika persekitaran atau cara bimbingannya sehingga peringkat umur ini rendah mutunya dari segi stimulasi, perkembangan kognitifnya tidak akan tercapai dengan optimum. Jadi ibu bapa adalah pencetus untuk stimulasi anak ke arah yang lebih positif.


Tips Kenali Diri Anak

Anak adalah pemerhati dan pengamat setia terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Jadi anda harus memperlihatkan wajah ceria, bahasa santun dan merangsang, belaian dan kemanjaan menjadikan anak berada dalam keadaan fitrah. Manakala komunikasi dan dialog dengan anak seharusnya berlaku dengan berbagai cara kerana anak mungkin bertanya sesuatu yang dilihat, dibaca dan ditonton kepada ibu bapanya.

Oleh itu, ibu bapa perlu bijak dan sabar memberikan penjelasan supaya fikiran serta perasaan anak terbimbing ke arah kebaikan. Sekiranya bimbingan dan perhatian rapi tidak diberi, sumber yang ditonton, dilayari, dibaca dan dilihat boleh memberi kesan negatif kepada jiwa dan pemikiran anak.


10 Panduan Ringkas Mengenai Si Kecil Anda :

1. Anak berumur 12 bulan sehingga 36 bulan (3 tahun) adalah unik. Pada usia ini mereka baru belajar mengenal diri sendiri dan membangunkan kemahiran diri.

2. Pada tempoh masa ini juga mereka akan mula belajar bertatih dan bercakap.


3. Pada usia ini, karektor mereka menawan hati yang melihatnya. Pastinya ibu bapa akan tersenyum melihat gelagatnya.


4. Memang pada usia ini anak kecil ini aktif. Tetapi mereka tidak boleh dilabelkan sebagai nakal.


5. Penerokaan juga menjadi agenda utama kanak-kanak pada usia ini. Ini kerana sikap ingin tahu, mencuba dan merasa menjadi keinginannya. Contohnya perkembangan kreativiti membantu anak menjadi seorang yang kreatif. Sediakan alat tulis untuk melakukan aktiviti yang menjana mindanya.


6. Perkembangan fizikalnya telah menjadi lebih baik daripada sebelumnya iaitu berlari lebih laju, boleh memanjat, mengimbangi diri dan lebih stabil imbangan badannya.


7. Kerenahnya juga semakin menjadi-jadi seperti menjadi seorang yang cerewet seperti memilih makanan yang sedap sahaja, tidak mahu makan sayur dan suka makan makanan manis.


8. Sudah pandai memilih pakaian dan permainan kesukaannya. Dia akan menunjukkan koleksi yang disukainya sambil berkata, ‘cantik’.


9. Bermain dengan emosi dengan anda apabila pandai merajuk apabila lambat membuat susu untuknya dan mahu pula dipujuk oleh anda.


10. Mereka ini cukup terkenal dengan ‘buat perangai’ atau menunjukkan tantrum. Ia berlaku disebabkan lapar, letih, sakit, cemas atau iri hati dengan adik-beradik yang lain.

edit : majalah pa&ma
*kna byk blajar lg nie.. 

0 comments: