Sunday, October 31, 2010

Bijak berbelanja

Perbelanjaan menguruskan bayi ada kalanya melebihi perbelanjaan ibu bapa sendiri. Hingga ada ibu bapa terutama yang baru menimang cahaya mata pertama gagal mengatur perbelanjaan dengan baik.

Meskipun kehadiran anak dianggap prioriti dalam sesebuah keluarga namun perancangan yang tidak teratur boleh mendatangkan masalah kepada ibu bapa. Ikuti tip berikut sebagai idea perbelanjaan berhemat.
Potongan gaji
Peruntukan 10 peratus daripada gaji anda boleh digunakan untuk membeli keperluan bayi. Pastikan jumlah yang sama diperuntukkan setiap bulan untuk mereka. Lebihan perbelanjaan tersebut boleh disimpan untuk perbelanjaan akan datang.
Jualan murah
Kebanyakan ibu bapa gemar membeli peralatan bayi dan barangan bayi setiap kali ada jualan murah. Tawaran tersebut boleh membuatkan anda rambang mata hingga terdorong berbelanja lebih.

Lebih baik anda kenal pasti apa yang sepatutnya dibeli ketika musim jualan dan sebaliknya.
Yang perlu
Sebagai pengguna yang bijak, beli barang yang perlu sahaja untuk anak anda. Lagipun, bayi tidak dapat membezakan sama ada barang tersebut murah atau mahal. Pastikan barangan yang dibeli perlu untuk bayi. Paling asas, pastikan peruntukan untuk pakaian, makanan dan perubatan sentiasa ada.
Rancang perbelanjaanPerbelanjaan untuk menyambut bayi sepatutnya dimulakan sejak bayi berada dalam kandungan. Misalnya beli katil bayi dan kemudian secara beransur-ansur anda boleh beli peralatan yang lain.
Pakaian bayi
Ramai ibu bapa terlalu seronok menanti kehadiran bayi baru sehingga menghabiskan banyak wang untuk membeli pakaian bayi. Perlu diingat, bayi anda akan terus membesar maka tidak ada gunanya anda berbelanja terlalu banyak untuk pakaian. Dalam masa beberapa bulan sahaja anda dapat melihat betapa pantasnya si kecil membesar. Beli pakaian yang longgar atau besar supaya anda tidak perlu berbelanja terlalu kerap untuk pakaian bayi.

edit by:majalah pa&ma

0 comments: