Sunday, October 31, 2010

Tangisan, cara bayi berkomunikasi

Anda baru sahaja ingin melelapkan mata. Tiba-tiba anak menangis. Hendak kejutkan suami tidak sampai hati. Tidurnya lena mungkin kerana terlalu penat. Tangisan anak yang semakin kuat menjadikan anda panik. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Sekiranya berhadapan dengan situasi ini, anda tidak perlu risau. Jangan rasa panik. Anda kena bertenang. Tidak dinafikan rasa panik adalah lumrah bagi wanita yang baru pertama kali bergelar ibu. Tapi, inilah masa terbaik untuk anda belajar cara-cara untuk meredakan bayi yang menangis.
Dalam kes bayi menangis, jika anda rasakan bayi menangis kerana lapar, itu kurang betul. Ada banyak sebab bayi menangis. Mungkin ramai di kalangan kita tidak tahu yang bayi tidak mempunyai cara untuk berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya kecuali dengan tangisan.
Pada peringkat awal tumbesarannya, bayi akan menangis untuk memberitahu yang dia sedang bermasalah. Antara masalah yang biasa dialami bayi ialah:
•Lapar
Tidak dinafikan bahawa sering kali tangisan bayi dikaitkan dengan rasa lapar. Jadi, sebagai bapa, anda mestilah peka tentang hal ini. Pastikan anak mendapat makanan yang secukupnya. Bagi bayi yang belum berusia 6 bulan, makanan yang dimaksudkan tentulah susunya. Para bapa kenalah ambil tahu jadual minum susu anak agar anda tahu bilakah waktunya dia kena menyusu.
•Basah
Rasa tidak selesa akibat basah pun boleh menyebabkan bayi menangis. Oleh yang demikian, rajin-rajinlah periksa lampin bayi anda dan tukar lampin tersebut dengan kerap bagi mengelakkan punggungnya basah. Menjaga kebersihan bahagian lampin bayi sangat penting agar dapat mengelakkan masalah ruam yang akan membuatkan bayi rasa gatal dan tidak selesa.
•Tidak selesa dengan persekitaran
Keadaan persekitaran juga sering mengganggu bayi. Suasana sekeliling yang terlalu bising dan sempit boleh menyebabkan bayi menangis. Bukan itu sahaja, suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk pun boleh mengganggu keselesaan bayi.
•Jatuh
Ada ibu bapa yang gemar menidurkan bayi mereka di dalam buaian. Amalan seperti ini terutamanya pada waktu malam tidak praktikal kerana macam-macam boleh berlaku di dalam buaian ketika anda sedang tidur. Salah satu perkara yang boleh berlaku ialah terjatuh. Bayi yang tidur lasak mudah terjatuh dari buaian lebih-lebih lagi jika dia dibiarkan tidur sendirian.
•Kembung
 Bayi juga terdedah kepada masalah kembung perut. Masalah yang turut dikenali sebagai kolik ini akan menyebabkan bayi menangis dalam satu jangka masa yang panjang. terutamanya pada waktu petang. Biasanya untuk meredakan sakit perut yang dialami bayi, urut bahagian perutnya dengan lembut menggunakan minyak yang sesuai. Urut juga bahagian belakang tubuhnya. Selain daripada meredakan kesakitan yang dialami, urutan boleh menenangkan bayi. 
Kepada ibu-ibu dan bapa-bapa sekalian, tangisan bayi adalah lumrah dalam kehidupan berkeluarga. Bayi memang selalu menangis. Oleh itu, anda perlulah bersedia untuk menghadapinya.

edit by:majalah pa&ma

Menabung untuk beli rumah idaman

Memiliki rumah idaman bukanlah perkara remeh, malah ia merupakan pelaburan yang paling mahal bagi seseorang itu sepanjang hidupnya. Namun, keputusan membeli sebuah rumah boleh menimbulkan pelbagai implikasi kewangan sebaik sahaja anda memberikan komitmen untuk membeli rumah tersebut.
Bayaran balik pinjaman perumahan akan menjadi perbelanjaan yang paling besar buat anda setiap bulan untuk jangka masa yang panjang, sekitar 15 atau 25 tahun. Oleh itu, anda perlu membuat perancangan yang teliti sebelum membeli rumah idaman anda.
Jika anda berazam untuk memiliki sebuah rumah, kaji terlebih dahulu status kewangan anda. Berikut adalah tiga soalan penting yang perlu dipertimbangkan sebelum melaburkan wang membeli rumah idaman:

1.  Berapa banyakkah wang yang mampu dikeluarkan daripada simpanan untuk membiayai bayaran pendahuluan dan kos sampingan pembelian sesebuah rumah?
Bayaran pendahuluan ialah wang yang perlu dibayar untuk memastikan anda dapat menjadi pemilik sesebuah rumah yang diidamkan. Lebih tinggi bayaran pendahuluan, maka semakin kecil amaun yang perlu dibayar setiap bulan kepada pihak bank untuk menyelesaikan pinjaman perumahan anda.
Selain itu, kadar bunga yang dikenakan juga lebih rendah. Lazimnya, wang pendahuluan yang sepatutnya dibayar adalah antara 5 - 20% harga jualan rumah tersebut. Walau bagaimanapun, jangan lupa yang anda juga perlu menyediakan wang yang secukupnya untuk yuran guaman, duti setem, insuran dan juga kos pengubahsuaian rumah apabila kunci rumah diserahkan kelak.
Berdasarkan simpanan dan pelaburan yang ada, tetapkan jumlah yang mampu dikeluarkan untuk membeli rumah idaman. Di sini, anda dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya menyimpan wang yang menyamai selama 4 hingga 6 bulan perbelanjaan bulanan sebagai simpanan kecemasan. Di samping itu, pastikan anda tidak mengusik wang yang disimpan untuk persaraan kelak, lebih-lebih lagi jika anda kini di peringkat pertengahan umur.

2. Berapa banyak wang yang anda boleh keluarkan daripada pendapatan bulanan untuk meningkatkan kadar simpanan atau untuk membayar pinjaman perumahan anda?
Jika anda sudahpun mempertimbangkan soalan 1 dan mendapati wang yang ada dalam tangan tidak mencukupi, langkah seterusnya ialah untuk meningkatkan kadar simpanan anda. Anda boleh cuba membuka satu akaun simpanan khas untuk pembelian rumah. Pastikan anda memperuntukkan peratusan yang tetap daripada gaji untuk disimpan dalam akaun tersebut setiap bulan. Kaji dengan terperinci perbelanjaan anda, dan cuba kurangkan perbelanjaan untuk perkara yang tidak perlu seperti barangan mewah, hiburan dan percutian. 
Anda juga perlu tahu jumlah yang mampu dibayar untuk pinjaman perumahan tersebut. Lazimnya, bayaran untuk pinjaman perumahan tidak seharusnya melebihi 30% daripada gaji kasar anda. Selain itu, pastikan wang anda mencukupi untuk membayar perbelanjaan lain seperti yuran penyelenggaraan, bil air, elektrik dan sebagainya. Cara terbaik untuk mengawal perbelanjaan anda ialah dengan membuat bajet dan mendisiplinkan diri untuk mengikut bajet yang telah sediakan. 

3. Berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan daripada Akaun II KWSP untuk membiayai kos rumah anda? 

Periksalah akaun KWSP II untuk mengetahui amaun yang boleh dikeluarkan untuk pembayaran rumah anda. Ini penting kerana ia dapat meringankan beban pembiayaan rumah yang dibeli. Mengikut laman web KWSP, amaun yang layak dikeluarkan pencarum KWSP adalah seperti berikut:
* Pembelian Individu: Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah.
* Pengeluaran bersama suami/isteri, ahli keluarga, atau individu yang lain. Perbezaan di antara harga rumah dengan jumlah pinjaman dan tambahan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun II bagi semua pemohon tertakluk kepada amaun maksima yang layak dikeluarkan. Jika anda memperolehi pinjaman penuh (100%), anda layak mengeluarkan 10% daripada harga rumah atau semua simpanan dalam Akaun II, mengikut mana yang lebih rendah.
Pilih dengan tepat
Apabila selesai mengira kesemua sumber kewangan yang ada berdasarkan soalan-soalan di atas, anda kini sudah bersedia untuk memulakan pencarian rumah baru anda. Membeli sebuah rumah merupakan satu peristiwa yang sangat penting bagi kebanyakan daripada kita. Pastikan anda mengambil masa yang secukupnya dalam mencari rumah yang anda idam-idamkan, iaitu sebuah rumah yang menepati kehendak anda serta mampu dimiliki.
Anda mungkin berminat untuk membeli rumah dalam kawasan yang selamat untuk anak-anak anda, berkedudukan strategik dan berhampiran dengan sekolah, padang permainan dan juga kemudahan-kemudahan lain.
Jenis rumah yang ingin dimiliki juga perlu diambil kira. Mungkin anda lebih berminat dengan rumah teres kerana ia tidak melibatkan yuran penyelenggaraan bulanan dan memberikan lebih ruang untuk anak-anak anda beriadah.
Sebaliknya, anda mungkin lebih berminat dalam pangsapuri yang menyediakan kawalan keselamatan dan beberapa kemudahan lain seperti gimnasium, kolam renang dan sebagainya. Memandangkan pelbagai faktor yang perlu diambil kira, maka, jangan terburu-buru dalam membuat pilihan, terutama sekali sewaktu ekonomi berada di paras yang tinggi dan menyebabkan pasaran hartanah melonjak naik.

Bijak berbelanja

Perbelanjaan menguruskan bayi ada kalanya melebihi perbelanjaan ibu bapa sendiri. Hingga ada ibu bapa terutama yang baru menimang cahaya mata pertama gagal mengatur perbelanjaan dengan baik.

Meskipun kehadiran anak dianggap prioriti dalam sesebuah keluarga namun perancangan yang tidak teratur boleh mendatangkan masalah kepada ibu bapa. Ikuti tip berikut sebagai idea perbelanjaan berhemat.
Potongan gaji
Peruntukan 10 peratus daripada gaji anda boleh digunakan untuk membeli keperluan bayi. Pastikan jumlah yang sama diperuntukkan setiap bulan untuk mereka. Lebihan perbelanjaan tersebut boleh disimpan untuk perbelanjaan akan datang.
Jualan murah
Kebanyakan ibu bapa gemar membeli peralatan bayi dan barangan bayi setiap kali ada jualan murah. Tawaran tersebut boleh membuatkan anda rambang mata hingga terdorong berbelanja lebih.

Lebih baik anda kenal pasti apa yang sepatutnya dibeli ketika musim jualan dan sebaliknya.
Yang perlu
Sebagai pengguna yang bijak, beli barang yang perlu sahaja untuk anak anda. Lagipun, bayi tidak dapat membezakan sama ada barang tersebut murah atau mahal. Pastikan barangan yang dibeli perlu untuk bayi. Paling asas, pastikan peruntukan untuk pakaian, makanan dan perubatan sentiasa ada.
Rancang perbelanjaanPerbelanjaan untuk menyambut bayi sepatutnya dimulakan sejak bayi berada dalam kandungan. Misalnya beli katil bayi dan kemudian secara beransur-ansur anda boleh beli peralatan yang lain.
Pakaian bayi
Ramai ibu bapa terlalu seronok menanti kehadiran bayi baru sehingga menghabiskan banyak wang untuk membeli pakaian bayi. Perlu diingat, bayi anda akan terus membesar maka tidak ada gunanya anda berbelanja terlalu banyak untuk pakaian. Dalam masa beberapa bulan sahaja anda dapat melihat betapa pantasnya si kecil membesar. Beli pakaian yang longgar atau besar supaya anda tidak perlu berbelanja terlalu kerap untuk pakaian bayi.

edit by:majalah pa&ma

Kenapa kita melahirkan anak?

Keindahan sebuah perkahwinan sering digambarkan oleh setiap pasangan yang bakal berumah tangga. Ia bukan sahaja menggambarkan keseronokan menjadi isteri atau suami, perkahwinan itu juga sebagai mengerat kasih saya mereka selama ini.

Di samping itu, pasangan juga inginkan anak yang ramai sebagai penyambung zuriat. Adakah anda tahu tujuan sebenar melahirkan zuriat.

Antara tujuan mengapa kita wajar melahirkan zuriat:
1.Amanah – anak ialah amanah Allah yang perlu dipelihara dengan sempurna dan dilunaskan segala keperluannya sehingga baligh bagi lelaki dan berkahwin bagi perempuan.
2.Tanggungjawab – anak bertanggungjawab menghormati ibu bapa dan menjaga ibu bapa yang sudah tua. Ini ialah harapan setiap pasangan. Ketika usia meniti senja mereka perlukan belaian dan kasih sayang orang  yang hampir dengan mereka, misalnya anak-anak.
3.Penawar – anak sebagai cara meleraikan kekusutan perhubungan suami isteri yang bermasalah atau mengeratkan perhubungan yang renggang.
4.Keseronokan – kehadiran bayi dalam sebuah rumah tangga ialah sebagai pengerat kasih sayang pasangan.
5.Keturunan – anak bukan sahaja penyambung keturunan, sebaliknya anak ialah pembela nasib ibu bapa. Di samping itu, anak bakal mewarisi harta atau hutang yang kita tinggalkan.
6.Bukti kesuburan suami isteri – kelahiran anak sebagai bukti pasangan mampu melahirkan zuriat iaitu tidak mandul.
7.Penyambung – anak adalah penyambung hasrat ibu bapa yang selama ini tidak mampu dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu. Misalnya, ingin menjadikan seorang yang berjaya atau berpelajaran tinggi. Tetapi hasrat itu tidak tercapai kerana pelbagai faktor, misalnya kemiskinan. Dengan lahirnya anak, mereka berhasrat ingin jadikan anak ini sebagai penyambung keinginan mereka. Jadi, mereka berusaha mendidik anak ini agar mampu menyampaikan hasrat mereka selama ini.
8.Pembantu – anak boleh membantu ibu bapa ketika susah misalnya sakit atau membantu tugas ibu bapa mencari nafkah.

edit by: majalah pa&ma

Rumah tangga milik bersama

Walau sesibuk mana  pun anda, berikanlah perhatian sepenuhnya kepada rumah tangga. Hal ini penting agar nanti apabila timbul sebarang masalah, tidaklah anda panik.
Ingat! Jangan sesekali menuding jari menyalahkan orang lain. Namun, ini tidak bermakna yang anda salah. Apa yang boleh dilakukan ialah berbincang bersama-sama untuk  memulihkan keadaan. Terlalu ego “Saya yang banyak keluarkan duit untuk semua perbelanjaan di rumah ni, jadi saya lah yang berhak tentukan segalanya. Awak tak ada kuasa, lebih baik awak diam sahaja.” Perkara seperti ini memang sering terjadi dalam rumah tangga ramai suami isteri. Masing-masing ingin menunjukkan kuasa. Hal ini tidak pernah memberi faedah kepada sesiapa sahaja.
Bermula daripada perselisihan faham yang kecil, keegoan akhirnya boleh menyemarakkan api pertelingkahan menjadi semakin besar seterusnya meruntuhkan mahligai perkahwinan yang  telah dibina dengan susah payah. Oleh yang demikian, seboleh-bolehnya, elakkanlah diri daripada bersikap pentingkan diri sendiri.
Tahukah anda bahawa pasangan anda sebenarnya adalah rakan kongsi anda. Jadi, bersama-samalah bergabung tenaga agar mahligai yang dibina mekar sentiasa. Setelah mendirikan rumah tangga, jangan sesekali anda terlupa untuk mengungkapkan kata-kata manis dan mesra kepada pasangan. Jika masa bercinta dahulu, berkoyan-koyan kata-kata romantis anda hadiahkan pada si dia, tidak salah rasanya kalau sudah ada anak sedozen pun anda masih kekal membisikkan kata-kata romantis itu ke telinganya setiap masa. Kalau inilah yang anda laksanakan dan berjaya, cukup sepuluh tahun berkahwin, lengkaplah pasukan bola sepak anda berdua.
Sedangkan lidah lagi tergigit. Ini pula suami isteri. Bertengkar dan berselisih faham memang adat berumah tangga. Ada sahaja perkara yang dilakukan oleh pasangan yang boleh membuatkan anda marah. Ya, anda berhak untuk marah tapi pastikan marah anda itu berpada-pada. Jangan “over” pula. Lain yang jadinya nanti. Seeloknya, marahlah dengan cara yang profesional. Bukan dengan menjerit atau enyergah sesuka hati. Kalau marah, pilih masa dan tempat yang sesuai untuk diluahkan rasa tidak puas hati itu. Cara ini tidak akan merugikan anda malah menjadikan ikatan perkahwinan lebih erat.
Hubungan erat
Bercerita tentang erat, perkahwinan ini bukan sahaja dilihat dari segi dalaman sahaja. Bahkan juga dilihat daripada eratnya genggaman tangan antara anda berdua. Kalau dulu ke mana sahaja nak pergi, tangan si dia mesti   digenggam, teruskanlah walaupun usia kini sudah beralih ke peringkat matang. Lagi erat genggaman tangan anda berdua lagi kuat rasa cinta yang akan menyelubungi kehidupan anda berdua. Masa berehat pula, urut-urutlah yang tersayang. Tambah mesra hubungan anda berdua. Masa itu, kalau hendak marah pun tentu tak jadi.
Agar rumah tangga anda sentiasa bahagia, janganlah ada rahsia antara anda berdua. Jika anda ada masalah, ceritakan pada pasangan. Begitu jugalah sebaliknya. Amalkanlah peribahasa lama ini, yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul. Barulah aman rumah tangga yang dibina. Ada orang tinggi, tidak kurang yang rendah. Ada orang cantik dan ada juga yang kurang menarik. Ada yang kaya dan tidak ketinggalan juga ada yang kurang berharta. Walau apa pun keadaannya, semua orang tahu. Manusia memang berbeza. Tidak ada yang sama. Begitu jugalah dengan anda dan pasangan. Belajarlah terima pasangan seadanya. Jangan terlalu meminta ataupun menginginkan sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh si dia. Hal ini hanya akan membina jurang antara anda berdua dan akhirnya jurang tersebut menjahanamkan hubungan anda berdua.
Satu lagi perkara yang sering menjadi punca keruntuhan banyak institusi kekeluargaan ialah faktor kewangan. Membiayai perbelanjaan rumah yang semakin hari semakin meningkat kadang kala  membebankan buat insan yang bergelar suami. Lantaran itu, si isteri turut turun padang untuk membantu. Namun, tidak semua isteri redha dengan apa yang telah mereka lakukan. Akibatnya, mereka rasakan diri seperti dipergunakan. Lebih-lebih lagi setelah penat bekerja, pagi di pejabat dan malam pula di rumah.
Wahai para isteri, redhalah dengan setiap apa yang anda lakukan. Ingat, niat anda pada mulanya memang baik, bekerja untuk membantu suami. Jadi, apa salahnya jika diteruskan niat yang baik itu. Semua ini bukan untuk orang lain sebaliknya untuk keluarga sendiri. Anggaplah semua yang anda lakukan itu adalah sedekah. Itulah yang sebaik-baiknya.
Ketahuilah bahawa perkahwinan bukan satu perkara yang boleh dibawa main. Malah, hanya orang yang “kuat” sahaja berjaya mengharungi onak dan durinya. Rumah tangga yang harmoni dan penuh dengan kasih sayang adalah impian semua orang. Agar impian anda terlaksana, berusahalah   sedaya-upaya untuk mencapai hasrat yang murni itu. Semoga anda semua berbahagia dengan keluarga tercinta.

Tidurkan bayi.........

Bayi memerlukan tidur yang mencukupi untuk tumbesaran yang sihat. Keperluan tidur untuk bayi baru lahir hingga usia dua bulan adalah antara 10.5 hingga 18 jam sehari. Sementara bagi bayi usia dua hingga 12 bulan, jumlah tidur yang diperlukan antara 14 hingga 15 jam sehari.
Sebelum itu anda perlu mengenali sifat tidur si kecil agar memudahkan proses mendodoi seterusnya menidurkannya. Biasanya pola tidur tidak teratur berlaku di kalangan bayi usia enam hingga lapan minggu.
Bayi yang sudah melepasi tempoh berpantang iaitu dua bulan ke atas mempunyai pola tidur yang agar teratur. 

1. Selesanya katil
Letakkan anak di tempat yang selesa baginya setiap kali waktu tidur. Tindakan ini mampu mewujudkan satu hubungan antara anak dan katilnya serta persekitaran dalam bilik tidurnya.

2. Masa untuk tidur
Ciptakan jadual tidur yang teratur secara rutin. Jika sejak kecil anda sudah biasakan dia dengan masa tidur yang tetap, maka tidak mustahil bayi akan tahu sudah tiba masa untuknya tidur. Untuk menjayakan proses ini ia memerlukan kesabaran dan mengambil masa yang lama.
3. Bersihkan badan dulu
Badan yang selesa pasti membuatkan si kecil juga selesa untuk melelapkan matanya. Pastikan anda sudah memandikan bayi, menukar lampinnya terlebih dahulu sebelum menidurkannya.
4. Mari menyusu
Aktiviti ini diakui oleh kebanyakan ibu antara yang paling berkesan untuk menidurkan si kecil. Bayi yang menyusu badan amat mudah tertidur dengan sendirinya.

5. Tepuk dan dodoi
Bayi suka mendengar irama lembut didodoikan ketika mata hendak terlena. Apatah lagi jika diiringi dengan tepukan lembut di punggungnya.

6. Ingatan waktu tidur
Untuk mencipta rutin tidur bayi, sentiasa ingatkannya sudah tiba masa untuk tidur. Gunakan kata-kata pujukan seperti ‘Adik, sudah tiba masa untuk tidur’ atau ‘Selamat malam’.

7. Bermain seketika
Berseronok dan bergurau dengan si kecil boleh membuatkan dia letih dan sekaligus memudahkan untuknya tidur.

8. Guna penanda
Tiada salahnya menggunakan prop tertentu bagi menandakan sudah tiba masa untuk tidur. Membaca buku misalnya boleh mengasyikkan si kecil dan dia tahu sudah tiba masa untuk tidur.

Wednesday, October 27, 2010

Tips Mengatasi Anak Manja

Runsing kan kalau mempunyai anak kecil yang terlalu manja?. Apatah lagi sekiranya manjanya itu shingga mengganggu kemampuannya untuk berdikari.
Berikut adalah tips bagaimana menangani anak yang terlalu manja :
1. Merefleks kembali kepada sejarah lampau yang telah dilalui dengan anak. Kita perlu sedar bahawa apa yang telah berlaku di masa lalu bukanlah suatu alasan untuk terus memanjakan anak. Mungkin anak pernah melalui masa gelap, fobia terhadap sesuatu, atau apa pun alasan, kita harus terus bersikap objektif dalam mendidik anak. Tidak terlalu keras dan tidak pula sehingga memudaratkan masa depan anak.
2. Jangan terlalu sentiasa menumpukan perhatian kepada anak dan kehendaknya sahaja. Anak juga perlu diajar untuk memberi perhatian dan empati kepada persekitarannya dan memahami bahawa setiap orang juga punya kehendak dan perasaan.
3. Sekiranya anak merengek meminta perhatian, cuba alih perhatiannya terlebih dahulu dengan mengingatkannya tentang sesuatu ganjaran baik yang akan dia dapatkan sekiranya menjadi anak yang baik. Peringatan tentang ganjaran menjadi seorang yang baik ini harus selalu diulang-ulang kepada anak-anak.
4. Ajarkan anak cara bergaul yang baik. Misalnya, dengan mengajarkan anak kita meminjamkan barang yang diperlukan oleh temannya.
5. Berikan pelukan kasih sayang dan kata-kata yang membuat dirinya tenang.
6. Sekiranya keinginan anak bermanja secara tiba-tiba meningkat dan nampak dengan jelas ada reaksi pada waktu-waktu tertentu. Berikanlah waktu khusus untuk memenuhi kehendaknya itu secara beransur-ansur. Jadi lakukan perubahan secara berperingkat. Kurangkan sedikit demi sedikit, jangan terus berubah.

Tuesday, October 26, 2010

Anak Melatih Kita Bersabar ?.....

Sabar itu tercermin melalui tiga kategori iaitu sabar dalam berkata, perbuatan dan hati. Sabar dalam berkata ialah tidak mengucapkan kata – kata kesat dan kasar. Sabar dalam perbuatan ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak baik kepada orang atau objek di sekeliling kerana marah. Sedangkan sabar dalam hati ialah bersangka baik dengan setiap yang berlaku.

Saat anak baru dilahirkan, dia hanya mampu menangis untuk menyatakan segalanya tanpa batas waktu dan keadaan. Terkadang sang ibu terutamanya yang baru menimang cahaya mata merasa rimas dan kurang sabar dengan tangisan yang belum dapat dipastikan apakah solusi terbaik untuk bayinya. Lapar, sakit, tidak selesa atau inginkan perhatian ? Rasa letih, mengantuk dan kesibukan dengan kerja rumah yang ada sekurang – kurangnya akan menimbulkan rasa kurang senang di hati seorang ibu sehingga meleteri anaknya bahkan mungkin kurang sabar dalam perlakuannya.

Saat anak telah mencecah usia kanak – kanak. Dia makin lincah, memanjat, menconteng dinding, memecahkan gelas dan meneroka setiap inci dunia yang berada di depan matanya. Jatuh bangun, adalah rencah kehidupannya. Si ibu sekali lagi kepenatan melayan kerenah anak – anaknya, apa yang pasti sebolehnya digari anak kecil itu agar dunia si ibu kembali aman.

Masa terus berlalu, zaman remaja dan dewasa terus ditempuhi oleh si anak dengan kerenahnya sendiri. Walaupun sudah lanjut usia, si ibu semakin kurang sabar dengan perangai anak – anaknya. Lisannya selalu menyatakan kesalahan anak – anaknya. Ingin dipukul, semuanya sudah pun dewasa.

Sedar atau tidak, anak itu menjadi sebahagian ujian Allah untuk kita yang bergelar ibu bapa meningkatkan kesabaran dalam hal – hal yang tidak kita senangi. Sedangkan Allah beserta orang – orang yang sabar dalam mengharungi segala musibah yang melanda hidup mereka. Saat kita menghadapi situasi yang kurang menyenangkan, cubalah untuk berbaik sangka terhadap apa yang terjadi. Cukuplah yang keluar dari lisan kita ialah doa – doa kebaikan dan kejayaan untuk si anak. Cukuplah pukulan sekadar menginsafkan dan peluk cium dengan penuh kasih sayang.

Anak kita adalah cerminan peribadi kita. Saat anak kelihatan menderhakai kita, semaklah kembali kederhakaan kita kepada perintahNya. Saat anak mulai enggan untuk mentaati kita, ukurlah kembali nilaian ketaatan kita kepadaNya. Kerana anak bukan sekadar diberi makan untuk terus hidup tapi perlu juga diberi didikan dunia dan agama untuk menjadi insan yang berbakti ketika di dunia dan penyelamat kita di akhirat sana.

Monday, October 25, 2010

Tips Menggalakkan Anak Belajar.....

Setiap anak yang lahir ke muka bumi ini sudah tertanam sikap “ingin tahu yang membuak-buak” di dalam diri mereka. Mereka ingin tahu segala-galanya. Bagi mereka belajar itu adalah bermain, ianya sangat menyeronokkan!.
Mereka ingin meneroka, setiap tempat baru yang mereka pergi adalah pengembaraan yang mengasyikkan. Tahun-tahun pertama dalam kehidupan mereka adalah tahun “ilmu” yang penuh dengan “pembelajaran”.
Percayalah, seorang anak belajar jauh lebih banyak perkara pada tahun-tahun awal ini berbanding tahun-tahun seterusnya (kerana selepas itu mereka lebih banyak menghabiskan masa menggunakannya). Mereka belajar mengenai perasaan dan perhubungan (mengenai perasaan seperti sedih, marah, cinta, suka, percaya, cemburu, takut, benci dan sebagainya), mengenai bahasa ( perkataan-perkataan awal mereka), mengenai bagaimana sesuatu benda berfungsi, mengenai alam di sekeliling mereka, dan banyak lagi.
Namun, entah mengapa, semakin dewasa, belajar sudah tidak lagi datang dari dalam diri, malah, kadangkala ianya menjadi suatu yang perlu dipaksa. Alangkah baiknya sekiranya perasaan “ingin tahu” seorang anak kecil itu berkekalan sehingga mereka dewasa.
Begitu membara sehingga tak mampu ditahan-tahan lagi. Suara larangan ibu, malah ugutan sekali pun kadang-kadang tak diperdulikan lantaran terlalu ingin untuk “tahu”.
Di sini ada beberapa tips, bagaimana mengekalkan perasaan ingin tahu pada seorang anak :
1. Memberi, menggalakkan, dan menjawab persoalan. Dengan begitu banyak yang mereka ingin tahu dan yang belum mereka tahu, maka tidak hairanlah mereka akan menjadi seorang yang begitu banyak bertanya. Maka jawablah semua persoalan mereka, galakkan mereka bertanya lebih mendalam, malah tanya kembali soalan kepada mereka. Apabila mereka mula tidak mendapat jawapan, maka mereka akan mula “malas” bertanya, dan keinginan itu akan mula berkurang.
Sudah tentulah jawapan tersebut perlu sesuai dengan usia mereka. Untuk anak yang masih kecil, beri jawapan yang paling ringkas dan padat.
2. Menerima dan menggalakkan penerokaan. Mereka ingin merasa semua benda. Mereka ingin pergi ke semua tempat. Galakkan mereka. Biarkan mereka meneroka baik ke dalam almari sehinggalah ke dalam hutan (pastikan keselamatan mereka juga). Ikuti mereka dari belakang untuk memastikan mereka tetap selamat.
Meneroka juga bermaksud pada deria rasa, deria bau, sentuhan, pendengaran selain dari penglihatan. Berikan mereka kebebasan untuk mengembara (setelah dipastikan keselamatan mereka).