Perkembangan merujuk kepada perubahan fizikal, mental dan sosial yang
dapat dijangkakan dalam kehidupan bayi. Perkembangan adalah faktor
penting dalam kehidupan bayi. Ingin mengetahui lebih lanjut mengenai
perkembangan anak anda.
Lampin adalah keperluan dalam kehidupan bayi sehinggalah ke usia
kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa hari ini memilih menggunakan lampin
pakai buang sebagai salah satu cara mudah untuk memastikan bahagian
sulit si manja berada dalam keadaan bersih dan kering. Bagaimanapun ia
akan menjadi ‘masalah’ apabila ibu bapa tidak tahu cara terbaik untuk
menghentikan penggunaan lampin pada anak.
‘Bercerai lampin’...Itulah perkataan yang selalu kita gunakan bagi
merujuk usaha ibu bapa untuk menghentikan kebergantungan anak terhadap
lampin. Ada yang anaknya sudah berusia enam tahun tetapi masih memakai
lampin terutamanya pada sebelah malam. Jadi, ramai ibu bapa yang mencari
jalan bagaimana untuk melatih si kecil ini agar ‘bercerai lampin’
seawal yang boleh.
Namun tidak kurang juga, ada yang cepat berputus asa apabila usahanya
itu menemui kegagalan. Apa yang pasti, ini bukanlah satu tugas yang
mudah. Masa dan kesabaran sangat diperlukan dalam memastikan usaha
tersebut berhasil.
Bilakah Usia Yang Paling Tepat?
Soalan yang sering diajukan oleh para ibu mengenai isu ‘cerai lampin’
ini ialah, “bilakah umur yang paling sesuai untuk menghentikan pemakaian
lampin pakai buang terhadap anak saya?” Jawapan yang diperoleh pula
selalunya pelbagai dan akhirnya mengelirukan.Sesetengah ibu bapa pula
berpendapat ‘cerai lampin’ adalah sangat penting dan perlu dimulakan
sejak dari awal.
Ada yang melatih si manjanya memakai seluar tanpa lampin sejurus si
manjanya mula pandai bertutur dan mungkin ada yang lebih awal dari itu.
Ia bergantung kepada masyarakat dan di mana bayi tersebut dibesarkan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa memilih untuk melatih anaknya
bercerai daripada pemakaian lampin sejurus si manja telah mula memahami
dan bersedia untuk perubahan.
Sebenarnya, waktu yang paling sesuai untuk melatih si manja tidak
memakai lampin ialah ketika si manja anda sudah mula memahami serta
mampu berkomunikasi dengan persekitarannya. Keadaan ini akan
menyelamatkan anda daripada perlu bersusah-payah untuk melatih si manja
pergi ke tandas. Anak anda perlulah bersedia untuk melalui fasa
peralihan ini.
Lazimnya, kanak-kanak tidak suka dipaksa. Sebaliknya, mereka lebih rela
dan mudah dididik sekiranya keinginan untuk belajar sesuatu yang baharu
itu lahir sendiri dalam dirinya. Jika terus dipaksa, si kecil mungkin
akan menunjukkan reaksi protes atau memberontak. Jadi, pendekatan
psikologi harus diguna pakai dalam usaha mendidik anak-anak menuju ke
alam lebih dewasa ini.
Adakah Si Manja Telah Bersedia?
Apabila si manja anda berkemampuan menerangkan sesuatu perkara secara
lisan atau bukan lisan, ia menandakan dia telah bersedia untuk memulakan
fasa peralihan tersebut. Apa yang paling penting, ibu bapa perlu bijak
memahami tanda-tanda atau isyarat yang diberikan oleh si anak itu. Ibu
bapa juga perlu membuatkan si manjanya memahami akan keperluan
menggunakan tandas. Jadikan isu tandas ini sebagai salah satu ‘isu’
besar dalam diri mereka. Kaedah ini boleh membantu melatih si manja
untuk ke tandas setiap kali ingin membuang air besar atau kecil.
Untuk permulaan, janganlah anda terlalu mengharapkan satu perubahan
yang drastik boleh berlaku. Perubahan ini memerlukan masa serta latihan.
Pada awal latihan sudah tentu si manja anda berhadapan dengan masalah
‘tidak sempat’ berlari ke tandas dan sebagainya. Jangan cepat berputus
asa dengan memakainya lampin pakai buang semula kerana malas melayan
keadaan tersebut. Kesabaran dan kerjasama para ibu bapa sangat
diharapkan dalam memastikan latihan ini berjaya!
Apakah Peranan Sebenar Ibu Bapa?
Semua ibu bapa perlu faham bahawa ini adalah satu proses peralihan yang
memakan masa. Segelintir ibu bapa memang tidak dapat lari daripada
perasaan kecewa apabila keputusan yang diperoleh bertentang dari apa
yang diharapkan. Kebanyakan ibu bapa mengadu bahawa anak-anak mereka
yang tidak memakai lampin selama beberapa minggu kembali semula
memakainya. Keadaan inilah yang menyebabkan timbulnya rasa kecewa dalam
diri segelintir ibu bapa. Seharusnya para ibu bapa tidak boleh memiliki
perasaan kecewa. Sebaliknya, mereka harus terus mencuba untuk melatih si
manja.
Kedua, tanya kepada diri sendiri mengapa usaha anda selalu menemui
kegagalan? Jawapan mudah sahaja! Stok lampin masih ada di dalam rumah
anda. Ramai ibu bapa merasakan mereka perlu mempunyai ‘lampin kecemasan’
di rumah. Pemikiran ini nyata tidak membantu anda untuk memisahkan si
manja daripada terus menggunakan lampin. Sebaliknya, ia akan lebih
‘memanjakan’ si manja dan secara tidak langsung anda akan terus
bergantung terhadap penggunaan lampin pakai buang ini.
Cerai lampin ini bukanlah satu perkara yang mudah. Cara yang terbaik
untuk anda menghentikan penggunaan lampin pakai buang ini adalah dengan
tidak meletakkannya di dalam rumah. Jadikan rumah anda bebas daripada
lampin pakai buang ini. Di peringkat permulaan diakui ia adalah sangat
sukar. Tetapi jika tidak bertindak sedemikian anda akan memerlukan masa
yang lebih lama untuk melatih si manja. Jangan sesekali mengelirukan
anak anda dengan memakaikannya lampin pakai buang hanya pada waktu malam
atau untuk bersiar-siar.
Apakah Pendekatan Terbaik?
Akhir sekali, elak daripada menggunakan ‘training pants’ untuk melatih
anak anda ke tandas. Ia boleh mengundang lebih banyak kekeliruan kepada
anak anda sekali gus mendorong si manja untuk terus menggunakan lampin.
Sebaliknya, ibu bapa perlu menyediakan tandas yang bersesuaian untuk
kegunaan si manja. Lakukan latihan tandas ini bersama-sama dengan pujian
dan galakan daripada anda. Ini adalah salah satu cara terbaik untuk
menghentikan si manja menggunakan lampin.
sumber : majalah pa & ma