Thursday, January 10, 2013

~Seronoknya Mengajar Dan Belajar~


Seronoknya Mengajar Dan Belajar
Bagi kebanyakan ibu bapa, tugas mengajar anak-anak adalah satu tugas yang sukar lebih-lebih lagi jika anak-anak tidak berminat untuk belajar. Diakui, bagi sesetengah kanak-kanak terutamanya yang sedang membesar, belajar adalah sesuatu perkara yang membosankan. Tapi, tahukah anda bahawa jika kena pada caranya, belajar pastinya menyeronokkan.
Sebagai ibu bapa, kita harus sedar bahawa pendidikan awal anak-anak sangat penting dalam memacu anak yang berilmu dan berkemahiran pada masa depan. Apa yang anak-anak kita lihat dan dengar dalam kehidupan mereka adalah satu ilmu yang berharga untuk diguna pakai dalam kehidupan seharian. Ibu bapa harus menjadikan tugas mengajar sesuatu yang menyeronokkan agar anak-anak juga rasa seronok untuk belajar.
Bagaimanakah belajar boleh menyeronokkan?
Perancangan awal dalam pembelajaran perlu supaya belajar itu boleh menjadi suatu perkara yang sangat dinanti-nantikan dan menyeronokkan. Kaedah, bahan dan gaya belajar mestilah disesuaikan dengan umur kanak-kanak agar mereka tidak rasa belajar itu membebankan.
Tip-tip Menjadikan Pembelajaran Suatu Perkara Yang  Menyeronokkan:
•Bahan
Untuk belajar, ada bermacam-macam bahan boleh digunakan seperti buku, akhbar, majalah, audio, video, animasi serta bahan-bahan daripada internet. Pada era moden ini, kanak-kanak didedahkan kepada alat-alat teknologi sejak awal lagi. Terdapat tablet dan pelbagai alat mainan canggih yang boleh dijadikan bahan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan untuk kanak-kanak.
•Kaedah
Bagi kanak-kanak, mereka banyak belajar ketika bermain. Jadi, ajarlah mereka sambil bermain. Misalnya, ajak anak-anak bermain naik tangga turun tangga untuk mengajar mereka mengira. Cara ini memang lebih menyeronokkan berbanding belajar terus daripada buku.
•Idea
Ibu bapa ataupun guru mestilah ada idea yang bernas untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk terus belajar. Contohnya, jika ingin mengajar mereka tentang buah-buahan, lebih elok jika anda beli beberapa buah-buahan segar dan biar anak lihat dan pegang sendiri buah-buahan tersebut. Pada masa yang sama, anak boleh tahu apa yang ada di dalam buah tersebut sekali gus dapat merasa buah-buahan tersebut. Tentunya cara ini lebih holistik dan berkesan daripada mengajar anak mengenal buah-buahan menerusi lukisan atau gambar pada buku. 
•Gaya Belajar
Gaya belajar merupakan kombinasi bagaimana seseorang kanak-kanak itu menyerap, mengatur dan mengolah maklumat yang ada dalam fikiran mereka. Biasanya ada tiga gaya belajar yang dominan iaitu auditori, visual dan kinestetik.
        1) Auditori
Auditori merupakan gaya belajar yang lebih mudah menyerap, mengatur, dan mengolah informasi melalui pendengaran. Kanak-kanak jenis ini biasanya lebih mudah dan lebih cepat menghafal dengan membaca menggunakan suara yang kuat ataupun melalui audio.
Tip: Bacalah buku bersama anak anda atau mainkan pita audio yang mempunyai irama menarik untuk membantu dia belajar lebih baik  
        2) Visual
Kanak-kanak gaya belajar visual lebih mudah menerima ilmu menerusi penglihatan mereka. Mata mereka tajam. Mereka lebih mudah mengingat apa yang dilihat berbanding yang didengar. Aktiviti demonstrasi atau tunjuk cara sangat sesuai untuk kanak-kanak jenis ini.
Tip: Pilih bahan bacaan yang mempunyai pelbagai warna dan bentuk yang menarik supaya anak anda lebih fokus dalam pembelajarannya.
        3) Kinestetik
Gaya belajar kinestetik adalah gaya belajar yang berkecenderungan kepada pergerakan tubuh atau pergerakan tangan. Kanak-kanak jenis ini biasanya aktif. Mereka gemar menyentuh benda yang ada di sekeliling mereka dan mengekspresikan apa yang mereka rasa dengan pergerakan tubuh.
Tip: Berikan anak anda permainan susun suai gambar atau blok binaan supaya dia belajar melalui sentuhan dan perbuatan.

*SUMBER : MAJALAH PA&MA 2012

0 comments: