Friday, June 24, 2011

~15 cara ajar anak budi bahasa~

Membentuk anak mengenai budi bahasa adalah suatu proses yang berterusan. Dan usia tiga sehingga 5 tahun adalah waktu utama untuk mengajar anak-anak mengenai budi bahasa. Ikuti panduan mengenai bagaimana untuk membentuk budi bahasa dalam diri si manja anda.  

1. Erti rasa hormat.  Tunjukkan tingkah laku yang baik kepada anak. Cakap dengan elok kepada anak anda dan tingkah laku anda itu akan membuatkan dia melakukan perkara sama kepada orang lain.

2. Berkongsi permainan. Beri kata-kata pujian apabila dia sedia berkongsi dengan orang lain. Katakan kepadanya sikap suka berkongsi barang membuatkan dirinya disukai ramai.

3. Praktik perkataan kesopanan. Jadikan perkataan, ‘ tolong’ dan ‘terima kasih’. sebagai ungkapan yang wajib dalam keluarga anda. Jika anak anda lupa untuk mengucapkan terima kasih, ingatkan kepadanya.

4. Ucapan meminta maaf. Tunjukkan situasi si kecil harus mengucapkan kata-kata maaf. Jadikan ungkapan meminta maaf sebagai suatu perkara biasa. Dengan cara ini membuatkan anda lebih disenangi dalam pergaulannya dengan rakan sebaya. 

5. Memberi pujian. Pujian adalah kata-kata yang menakjubkan buat anak anda. Beritahu kepada anak anda bahawa anda bangga apabila dia menunjukkan sikap yang sopan setiap masa.

6. Menjadi model mengajar tatatertib kepada anak. Jika mulut anda penuh dengan makanan apabila anda bercakap, anak anda akan mengikut perkara yang sama apa yang dilihatnya.

7. Mengungkapkan penggunaan ayat yang betul. Jika anak menggunakan perkataan, “Adik mahu air,” anda betulkan penggunaan ayatnya dan berkata, “Boleh ibu tolong ambilkan adik air,?” dan minta anak anda ulangi ungkapan tadi. Anda harus mengulangi penggunaan ayat ini sebarang situasi.

8. Minta kebenaran. Ia sukar pada tahap usia ini untuk melatihnya. Jika anak anda merampas barang permainan rakan sebaya, katakan kepadanya, “ Perbuatan adik ini tidak baik dengan cara mengambil barang kawan tanpa meminta kebenaran. 

9. Lakukan kerja rumah. Biarkan si manja membuang sampah atau lampin pakai buangnya ke dalam bakul sampah. Juga membawa pinggan plastik di letakkan atas meja ke sinki. Ia suatu pengenalan kepadanya untuk membantu ahli keluarganya membersihkan rumah.

10. Berlatih untuk duduk diam di meja makan. Lakukan dalam tempoh masa 15 kepada 20 minit. Ia mengajar anak berdisiplin di meja makan tanpa melakukan sebarang perbuatan yang mungkin akan mengundang kemarahan anda.

11. Gunakan perkataan ‘tolong’. Guna perkataan ini apabila mahu meminta anak anda mengambil barang yang anda mahu. ‘Adik, tolong mama ambilkan baju tu.

12. Komen. Jangan membuat komen tidak baik mengenai makanan di hadapannya. Jika tidak mahu katakannya, “tidak, terima kasih.”

13. Duduk di meja dengan kedudukan yang sopan. Jangan membuat bising. Makan dengan sopan supaya tiada makan atau minuman tidak bersepah. Jangan bergaduh di meja makan.

14. Suara. Beritahu kepadanya tempat yang ‘ok’ bersuara kuat dan tempat yang perlu bercakap perlahan.

15. Salam. Menghulurkan salam untuk berjabat tangan apabila berjumpa dengan orang yang lebih tua daripadanya. Ia mampu melahirkan perasaan hormat dalam diri anak itu. 

*edit dari majalah pa&ma

~5 tip mudah ajar anak ~

1. Didikan
Anak-anak mempunyai potensi diri untuk berjaya. Mereka mulai belajar apa yang dikatakan perilaku yang betul atau sebaliknya. Misalnya jika mereka dididik bersikap sopan itu adalah baik, maka mereka akan bersikap begitu apabila berada dalam persekitaran orang ramai. Sebaliknya jika mereka dididik dengan nilai yang negatif apabila dewasa mereka akan menghadapi pelbagai masalah untuk bergaul dengan orang lain. Didikan yang baik akan mencerminkan sikapnya apabila dewasa nanti.
2. Dorongan Kanak-kanak memerlukan dorongan, semangat dan pendedahan persekitaran sihat yang membantunya mempunyai daya kreativiti yang luas. Dengan didikan dan asuhan yang baik, potensi diri mereka akan mencapai suatu tahap yang memberangsangkan. Ini kerana keadaan persekitaran yang selesa, pemakanan seimbang dan kasih sayang mempengaruhi tumbesaran dan perkembangan minda mereka. Jadi dalam tempoh ini beri peluang kepadanya untuk meneroka alam sekeliling mereka. Malah ketika ini rasa ingin tahu pada kanak-kanak ini adalah lebih tinggi dan jika ibu bapa tidak memberi dorongan positif mereka akan menjadi seorang yang kurang kreatif dalam hidupnya.

3. Interaksi Lebih awal ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka lagi elok untuk perkembangan anak. Malah dikatakan ia adalah faktor utama untuk membantu melahirkan anak-anak pintar. Interaksi antara anak dan ibu bapa mampu meningkatkan dan merangsang semua aspek perkembangan anak terutama melibatkan keyakinan dalam dirinya. Semasa berinteraksi ibu bapa harus memberi sepenuh perhatian, sentuhan, belaian kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya supaya anak mereka diri mereka dihargai. Interaksi ketika usia seperti ini amat perlu disebabkan dia sudah mengerti persekitaran yang ada di sekitarannya.

4. Luahan perasaan
Anak anda semakin mengenali dirinya sendiri. Sebagai ibu bapa anda harus tahu keperluan anak anda. Rapatkan diri dengan anak, luahkan perasaan kepada mereka agar mereka juga belajar meluahkan perasaan kepada anda. Carilah peluang untuk menyatakan kasih sayang kepada anak-anak. Cara ini akan membuatkan anak merasa diri mereka disayangi dan dihargai. Luahan perasaan umpama ‘terapi’ buat anak yang ingin dirinya diberi perhatian selalu.

5. Berdikari
Menyediakan anak-anak yang bersikap berdikari, ibu bapa perlu memberi latihan, bimbingan dan pengawasan berterusan. Ia adalah usaha untuk menyemaikan tabiat dan nilai baik untuk menguruskan diri sendiri. Tanamkan keyakinan dalam dirinya bahawa dia boleh melakukannya tanpa bantuan orang lain. Berikan kata-kata semangat untuk sebagai dorongan kepadanya. Sikap berdikari ini mampu mengasah dirinya menjadi seorang berani dan yakin diri dalam melakukan sesuatu.

*edit dari majalah pa&ma

~Elak Gigitan Bayi Ketika Menyusu~

Bayi terutamanya yang baru mendapat gigi pertama cenderung untuk menggigit puting payu dara sama ada secara sengaja mahupun tidak. Lebih-lebih lagi ketika dia mengalami masalah gatal gusi. Bayi pastinya akan menggigit dan menjadikan puting anda seumpama teether.

Kesannya boleh mengakibatkan puting kesakitan dan lama-kelamaan menimbulkan masalah untuk anda meneruskan penyusuan eksklusif.

1. Alihkan Bayi
Antara langkah yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan gigitan bayi ialah dengan mengalihkannya daripada payu dara secara perlahan-lahan. Sambil itu, anda digalakkan untuk menyatakan perasaan anda akibat perbuatannya. Berkatalah seperti, “Sayang, jangan gigit mama” atau “Mama sakit” Biarpun ketika itu anda mungkin mempunyai sekelumit rasa marah kerana sakit, namun sebaik-baiknya luahkanlah perasaan anda secara berhemah dan lemah lembut.
Untuk seketika, biarkan bayi berbaring sendirian sebelum anda menyambung semula sesi penyusuan. Dengan cara ini, ia dapat mendidik bayi bahawa jika dia menggigit, dia tidak akan dapat menyusu.

2. Tekapkan Muka
Ketika bayi mula mengetap bibir untuk menggigit, dekatkan mukanya ke arah dalam payu dara. Ini secara tidak langsung akan menyebabkannya sesak nafas lalu mendorong dia untuk menghentikan gigitan supaya dapat bernafas semula.
Sekiranya anda kerap melakukan panduan ini, lama-kelamaan bayi akan mula faham bahawa jika dia menggigit, dia akan mengalami masalah kesukaran bernafas. Dengan yang demikian, diharap bayi akan mengelakkan diri daripada terus menggigit di sesi penyusuan seterusnya.

3. Ketahui Punca
Sepatutnya di awal sesi penyusuan, anda sendiri perlu mengelakkan diri daripada digigit! Hal ini dapat anda lakukan dengan mengenal pasti punca yang mungkin menjadi penyebab mengapa anda sering digigit.
Berkemungkinan, ia berlaku kesan daripada perasaan kecewa bayi kerana tidak berjaya memperoleh susu seperti yang diingininya. Jika itulah yang menjadi penyebab, anda harus merangsang aliran susu sebelum menyusukan bayi. Antaranya, anda boleh menekapkan payu dara menggunakan tuala kecil yang telah direndam dengan air suam terlebih dahulu selama beberapa minit bagi melancarkan pengaliran susu.

4. Amati Corak Penyusuan
Di akhir sesi penyusuan pun, anda dapat mengelakkan gigitan bayi. Ini dilakukan dengan mengetahui sama ada dia suka menggigit apabila mula mengantuk akibat kenyang mahupun ketika puting hampir terlepas daripada mulutnya. Untuk itu, anda harus peka dan bersedia untuk menghentikan penyusuan setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda akan menggigit.

5. Posisi Selesa
Anda seharusnya sentiasa memastikan bayi dan anda sendiri berada dalam posisi yang cukup selesa ketika sesi penyusuan berlangsung. Sekiranya bayi mahupun anda kelihatan tidak selesa dengan posisi penyusuan tertentu, segeralah membetulkan posisi berkenaan agar lebih selesa.
6. Leraikan Dengan Jari
Apabila anda dapat rasakan bayi akan menggigit, segera masukkan jari kelingking di bahagian tepi mulutnya bagi meleraikan dia daripada payu dara. Namun, jangan sesekali meleraikan sesi penyusuan secara tiba-tiba tanpa memasukkan jari anda terlebih dahulu. Hal sebegini boleh mencederakan puting dan tentunya ia lebih menyakitkan.

7. Gigit Alat Lain
Berikan bayi alat-alat lain untuk digigitnya seperti teether atau tuala kecil yang dibekukan di dalam peti sejuk beku. Alat bantuan seperti ini amat bagus kerana membantu memenuhi keinginan bayi untuk menggigit sesuatu agar dapat menghilangkan rasa gatal gusi.
Oleh yang demikian, jadikan alat-alat sebegini sebagai alternatif untuk mengelakkan diri sendiri digigit!

8. Elak Jeritan
Cuba hindari diri daripada menjerit kepada bayi ketika dia menggigit. Malah, jangan sesekali memukul atau menampar pipinya. Keadaan ini akan membuatkan bayi terkejut dan takut untuk meneruskan penyusuan. Lebih akan menjadi teruk lagi, ia mungkin penyebab untuk bayi enggan lagi menyusu.

*sesuai betul dengan saya nie..hu3
*edit dari majalah pa&ma